Wednesday, January 22, 2014

Terengganu, T-Team Antara 13 Pasukan Layak Ke Pusingan Kedua Piala FA

Penyerang Perak, Khairul Asyraf terjatuh selepas diasak pemain tengah Pahang, Mohd. Hafiz Kamal pada aksi Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam tadi. 
Sebanyak 13 pasukan termasuk lima pasukan berstatus kelab berjaya ke pusingan kedua Piala FA setelah mengalahkan lawan masing-masing pada perlawanan pusingan pertama malam semalam.

Pasukan yang layak ialah dua pasukan dari Terengganu iaitu Terengganu dan T-Team, Sarawak, Lions XII dari Singapura, Kedah, Perlis, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP FC), Pahang, Sabah, Selangor PKNS FC, Sime Darby FC dan Felda United.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, penyerang import Marcio Souza Da Silva menghasilkan dua gol pada minit ke-11 dan 41 untuk membantu Terengganu mengalahkan Shahzan Muda 4-0. 

Gol lain dijaringkan oleh Abdul Manaf Mamat pada minit ke-34 dan Zairo Anuar Zailani pada minit ke-76. 

Sementara jurulatih T-Team, Mohd. Azraai Khor Abdullah belum mampu tersenyum bangga biarpun anak-anak buahnya melakar kemenangan 3-2 ke atas UiTM FC pada pusingan pertama Piala FA di Stadium UiTM, Shah Alam semalam.

T-Team selesa mendahului hasil dua jaringan Elvado Rodrigues Goncalves Cardoso pada minit ketiga dan 22 serta Fabio Flor De Azevedo (34).

Begitupun, rentak T- Team seakan-akan tidak menjadi apabila gawang mereka dibolosi dua gol menerusi Charles Obiikechukwu pada minit ke-50 dan Adam Othman (67).

The Titans bakal berdepan Johor Darul Takzim dalam pusingan kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 4 Februari depan.


Sementara Juara Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih, Pahang menepati ramalan apabila layak ke pusingan kedua Piala FA selepas menundukkan Perak 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi pusingan pertama di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terpaksa bermain sehingga masa tambahan selepas terikat dengan kedudukan 2-2.

Penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan muncul wira Tok Gajah selepas berjaya menepis tiga sepakan penalti Perak.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, penyerang import Adam Grifith menjaringkan dua gol pada babak kedua untuk membantu Kedah menewaskan Kuala Lumpur 4-0.

Gol skuad 'Hijau Kuning' itu diperolehi menerusi jaringan Khairul Helmi Johari pada minit ke-58 dan Mohd Kyril Muhymeen Zambri pada minit ke-65 sebelum Grifith melakukan jaringan pada minit ke-67 dan 77.

Di Stadium Negeri Kuching, penyerang import Gabor Gyepes menjaringkan gol kemenangan dalam masa kecederaan untuk membantu Sarawak mengatasi Pulau Pinang 2-1.

Sarawak membuka jaringan menerusi penyerang import dari Iran, Aliredza Abbasfard pada minit ke-76 sebelum Pulau Pinang menyamakan kedudukan menerusi Mohd Baser Mahamad pada minit ke-90.

Di Stadium Bishan, Singapura, juara Liga Super musim lepas, L:ions XII tidak menghadapi kesukaran untuk mengalahkan DRB-Hicom FC 3-0.

Penyerang berbisa pasukan tuan rumah, Sufian Anuar membuka jaringan pada minit ke-27 sebelum pemain tengah Gabriel Quak menggandakan jaringan pada minit ke-53 dan Faris Ramli mengesahkan kemenangan mutlak apabila menjaringkan gol pada minit ke-90.

Dalam pada itu, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan Sime Darby melakukan kejutan apabila menyingkirkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1.

Juara dan naib juara Piala FA musim lepas iaitu Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapat 'bye' pada pusingan pertama dan akan mula beraksi di pusingan kedua pada 4 Feb ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengekalkan format kalah mati bagi pusingan pertama dan kedua Piala FA.

No comments:

Post a Comment