Tuesday, February 4, 2014

Ahmad Said Banggakan Umat Islam Yang Cintakan Penyelidikan Ciptaan Allah


Ahmad Said bukan berbelanja ke luar negara untuk menyebarkan dakyah politik kepada pelajar dan rakyat kita di luar negara seperti pemimpin pembangkang di Terengganu ini, sebaliknya menggunakan sebaik-baik peruntukan untuk menjamin Terengganu, penyelidikan Islam dan bukan Islam dari negara ini kelak mempunyai stesen sendiri dalam penyelidikan khutub berskala besar di Antartika.

KUALA TERENGGANU (4 Februari 2014) - Lawatan kerja 15 hari Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika yang ‘berpandangan ke hadapan’ tamat kelmarin.

Beliau kini dalam perjalanan pulang ke tanah air..

Menteri Besar yang ‘berani meneroka dan menyertai mereka yang mengamalkan pemikiran mendahului cara berfikir secara biasa’, dijangka akan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Beliau akan menjawab soalan wartawan, termasuk kata-kata sinis, tuduhan membazir serta hasil misi pada sidang media di KLIA  tengah hari ini.

Isu lawatan Menteri Besar Terengganu menjadi kontroversi (lihat sini, sini, sini,) apabila ada pihak-pihak tertentu, khususnya pemimpin pembangkang apabila mengatakan ia sebagai sesuatu yang merugikan selain kenyataan akhbar yang sedikit terkeliru.


Walaupun sebelum pergi Ahmad Said sudah menjelaskan tujuan lawatannya pada 15 Januari lalu, pihak-pihak berkenaan tidak putus-putus mempersoalkan keuntungan daripada lawatan berkenaan yang dilihat oleh mereka, lebih banyak membazir.

Malah ada mempersoalkan kenapa Menteri Besar mengetuai lawatan berkenaan bukannya pegawai atau penyelidik daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ahmad Said mengetuai lawatan ke Antartika itu adalah melalui anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

Lawatan kerja itu mempunyai tujuan jelas iaitu bagi membuka laluan kepada kerajaan Terengganu, amnya Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH). 

Sumbangan kepada lawatan ini akan menjurus kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang turut dapat menyumbang kepada penyelidikan perubahan cuaca dunia yang semakin tidak menentu.

Malah menyebut sahaja Malaysia, kita adalah negara Islam yang maju dalam pelbagai bidang dan penyelidikan khutub Selatan - iaitu salah satu keajaiban ciptaan Allah s.w.t. – tidak salah, sebaliknya membuka langkah kepada negara Islam lain menyertai misi ini.

Amat menghairankan apabila pemimpin PAS mengkritik usaha ini sedangkan di zaman Nabi Muhamad pun ‘umat Islam dituntut belajar hingga ke negara China’.

Kita di zaman moden yang perlu menonjolkan usaha dan kesungguhan untuk belajar serta bersaing dengan penyelidik bukan Islam yang lebih awal meneroka benua berkenaan pasti tertanya-tanya apakah sumbangan kita untuk sama-sama menyertai misi dan penyelidikan berkenaan.

Ahmad Said ke Antartika bukan untuk glamour, membuat kejutan atau menunjuk-nunjuk beliau seorang yang mampu mencipta berita atau sengaja mereka-reka berita untuk mempopular atau menaikkan namanya.

Lawatan ini pastinya lebih awal di atur, sebelum pun beliau digelar 'Robin Hood' ( beliau menafikan gelaran berkenaan) selain kejutan-kejutan lain.

Sultan Terengganu ketika membuat lawatan ke Antartika.
Bagi Menteri Besar Terengganu, sudah sampain masanya saintis Islam dan negara-negara Islam mengadakan penyelidikan secara serius di kutub selatan itu.

Selain bagi tujuan penyelidikan, ia akan memberi imej dan gambaran yang baik terhadap orang Islam dan tidak membiarkan orang bukan Islam sahaja berbuat demikian.

Baginya, usaha penyelidikan dan menyertai misi seperti ini adalah fardhu kifayah bagi umat Islam selaras dengan ayat Al Quran yang ada menyebut bahawa tiap-tiap apa yang dijadikan Allah sama ada di langit atau dibumi tidak sia-sia.

“Saya rasa sepatutnya menjadi tanggungjawab saintis Islam membuat penyelidikan di Antartika kerana ia bertepatan dengan ajaran Islam supaya kita menimba ilmu di mana sahaja tempat,” katanya dalam satu sesi temuramah dengan Manis FM yang disampaikan melalui Whatsapp.

"Jika tidak, kita umat Islam akan terus ketinggalan malah dengan berbuat demikian kedudukan imej orang Islam akan meningkat dan setanding dengan bukan Islam." katanya.

Mengenai beribadah ketika di Antartika, katanya jika gereja boleh dibina di kawasan penyelidikan, apa salahnya kita orang Islam membina surau, tempat orang Islam menunaikan sembahyang.

"Orang bukan Islam yang bersama kami di sini (Antartika) kagum dan terharu melihat kami menunaikan solat jemaah dan berpuasa semasa berada dalam eksplorasi Antartika itu. Mereka amat mengalu-alukan kehadiran kita sehingga bertanya bermacam-macam soalan mengenai umat Islam kepada kami," kata Ahmad Said.

Beliau amat yakin suatu masa Malaysia akan mempunyai stesen penyelidikan sendiri di sana, walaupun ketika ini menumpang dengan stesen pihak negara lain.

"Kalau Peru yang bukan kuasa besar dan maju ekonominya boleh membuka beberapa stesen penyelidikan di Antartika, saya percaya negara Islam, termasuk Malaysia pun boleh melakukan perkara yang sama,” tegasnya melalui wawancara itu.

Amat nyata, pemergian atau lawatan Menteri Besar ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri Terengganu untuk menyediakan platform kepada saintis dan penyelidik untuk menjalin kerjasama strategik dengan Chile.

Penglibatan kerajaan Terengganu dalam misi itu turut menggambarkan sokongan padu kerajaan negeri terhadap usaha yang dijalankan di peringkat Kerajaan Pusat dan global sebagai untuk melahirkan kumpulan penyelidik yang berwibawa dan dihormati.


Menteri Besar ketika misi berkenaan turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara INACH dan YPASM bagi membuka laluan kerjasama dalam bidang penyelidikan di benua itu. 

Dengan termeterai memorandum persefahaman itu, Kerajaan Negeri yakin dapat menubuhkan sebuah stesen kendalian bersama Malaysia-Chile di Antartika.

Melalui penubuhan stesen berkenaan, akan membolehkan lebih ramai pertukaran pelajar dan kakitangan akedemik terlibat dalam penyelidikan di sana

Ini sebenarnya penting dan membuka ruang untuk anak Terengganu bersama-sama dengan penyelidik antarabangsa meneroka penyelidikan sains khutub yang sangat penting bagi iklim dan kehidupan manusia. 

Chile menjadi tuan rumah kepada delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Besar Terengganu itu dan akan dibawa melawat stesen penyelidikan yang dikendalikan oleh INACH di Antartika.

Reaksi kepada kritikan terhadap lawatan Menteri Besar itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee (kiri) berkata sepatutnya penduduk di negeri ini berbangga usaha Menteri Besar itu kerana berfikiran jauh demi untuk kemajuan negeri ini pada masa depan.

“Ia adalah satu penerokaan baru ilmu bagi memenuhi hasrat manusia di bumi, jadi kebetulan pula, penerokaan Antartika ini telah dibuat sebelum ini, bukan sahaja pihak negara, bahkan seluruh dunia membuat penerokaan ilmu ke kawasan Antartika.

Mohd Jidin berkata, lawatan selama 15 hari yang bermula sabtu lepas itu adalah satu perkara penghayatan kehidupan masa depan dan usaha Menteri Besar itu adalah wajar.

“Sama juga dulu penerokaan ke bulan, ramai juga orang tidak memahami ataupun tidak mencapai tahap pemikiran pada masa itu menyatakan bahawa penerokaan ke bulan itu satu pembaziran tetapi setakat ini bukan sahaja ke bulan malah beberapa lagi planet baru sedang diterokai untuk mempelajari perkara-perkara berkaitan kejadian Allah Taala.

“Seterusnya mereka yang bekerja kuat ini dikatakan orang yang berakal ataupun ulul albab, jadi yang berakal ini bermakna penghayatannya kepada keduniaan bagi akhirat sebab mereka tahu kehidupan di dunia ini akan mempunyai limik umur dan apakah peninggalanya.

“Kalau mereka ini tidak membuat penerokaan awal, apakah satu generasi akan datang, nak mengambil di mana, jadi adalah tepat kerajaan negeri membuat permulaan ini,” katanya baru-baru ini.

Pengerusi Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri A Latiff Awang (kanan) menyifatkan pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang tidak faham perkara sebenar selain mengeluarkan kenyataan secara rambang dan melulu.

Katanya, sebagai Menteri Besar Terengganu Ahmad Said amat peka dan bertanggungjawab kepada usaha YPASM bagi meningkatkan usaha-usaha penyelidikan yang sangat penting itu.

Hakikatnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sendiri menggesa supaya kerajaan kerajaan negeri, badan swasta dan individu membantu usaha yang dipelopori oleh YPASM.

A Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, mengajak rakyat Terengganu dan pengkritik kepada lawatan oleh Menteri Besar itu agar membuka minda dengan lebih luas dan professional serta ilmiah, bukan dikalutkan dengan pemikiran dan kepentingan politik murahan semata-mata.

Ini kerana Ahmad Said membuktikan sebagai pemimpin, beliau berusaha merealisasikan gesaan kementerian selain menjayakan hasrat YPASM dalam membantu dan merealisakikan usaha murni YPASM berkenaan bagi kajian sains khutub dan iklim yang sangat penting kepada kehidupan manusia di seluruh dunia.

Bagi ADUN Jabi Mohd Iskandar Jaafar, sikap pemimpin pembangkang di Terengganu dan di negeri lain, yang sengaja melemparkan tuduhan bertujuan memperlekehkan pentadbiran Ahmad Said.

Iskandar yang juga Exco Pemuda Umno pusat berkata tohmahan dan cakap-cakap sinis oleh pembangkang mengenai lawatan itu lebih merupakan satu usaha terancang bagi menafikan keperluan kepada pengembangan ilmu saintifik pada masa hadapan.

Baginya, penyelidikan yang amat rapat dengan kehidupan seharian - tidak kiralah sama ada di Terengganu atau Malaysia, selain dunia amnya, adalah sesuatu yang wajar dibanggakan.

Adalah sesuatu yang amat sukar meyakinkan pembangkang, namun rakyat menghargai pandangan ke hadapan Ahmad Said dan pastinya mereka bangga mempunyai Menteri Besar yang menekankan usaha memajukan penyelidikan, apa lagi ia mengkaji fenomena kejadian khutub yang mempengaruhi iklim dunia ciptaan Allah s.w.t.


Ahmad Said bukan berbelanja ke luar negara untuk menyebarkan dakyah politik kepada pelajar dan rakyat kita di luar negara seperti pemimpin pembangkang di Terengganu ini, sebaliknya menggunakan sebaik-baik peruntukan untuk menjamin Terengganu, penyelidikan Islam dan bukan Islam dari negara ini kelak mempunyai stesen sendiri dalam penyelidikan khutub berskala besar di Antartika.

Biarpun dituduh membazir atau dicerca sebagai lawatan sosial semata-mata, sumbangan Ahmad Said kepada penyelidikan sains khutub oleh rakyat Malaysia yang beragama Islam akan menjadi teladan selain kelak ramai yang  akan mengagumi beliau kerana memupuk dan mengerakkan budaya dan kerja-kerja penyelidikan yang diiktiraf keperluannya oleh dunia.

No comments:

Post a Comment