Saturday, February 8, 2014

Jarak LTdL Dari Tasik Kenyir Ke Kuala Terengganu Dikurang


Laluan peringkat ke-10 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu pada 8 Mac depan dipendekkan berikutan pembinaan dan perubahan laluan di bandar Kuala Terengganu.

Ketua Pegawai Operasi LTdL Emir Abdul Jalal berkata perubahan itu akan menyaksikan pengurangan jarak laluan sejauh 8.1km berbanding jarak sebenar 114.7km.

Ini menjadikan jarak keseluruhan LTdL ialah sejauh 1,495.9km berbanding 1,507.6km sebelum ini.

Beliau berkata pengurangan jarak itu tidak memberi kesan kepada siri perlumbaan berprestij itu, malah dijangka akan lebih menarik untuk melihat strategi yang diatur setiap pelumba untuk meraih kemenangan.

"Saya jangkakan laluan pusingan di Kuala Terengganu akan lebih menarik sebab perlumbaan akan menjadi lebih pantas dan menarik.

"Pengurangan jarak ini disebabkan ada laluan baharu yang dialihkan atau dijadikan laluan sehala. Kita pendekkan laluan sebab hendak mahu mengikut keadaan trafik di Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita selepas menerima penajaan air mineral jenama E'den keluaran Darulkhusus Venture Sdn Bhd. 

Sementara itu Emir berkata perebutan jersi kuning pada perlumbaan edisi ke-19 kali ini dijangka lebih panas memandangkan beberapa pasukan profesional kini sibuk menyusun atur para pelumba terbaik mereka untuk saingan.

"Kita masih kekal 20 pasukan dan tidak ada apa-apa perubahan cuma media antarabangsa banyak mengeluarkan berita mengenai nama pelumba yang akan menyertai LTdL. Mungkin ada penukaran nama perlumbaan ikut strategi pasukan tertentu," katanya.

Edisi kali ini membabitkan 10 peringkat yang bermula dari Langkawi menuju Perak, Kuala Lumpur, Genting Highlands, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang sebelum berakhir di Terengganu.

Sementara itu seramai 120 peminat sukan berbasikal di negeri ini hari ini memulakan kayuhan ke tujuh daerah bagi menyemarakkan lagi kejohanan LTdL 2014 yang bermula 27 Feb ini. 

Ketua Penyelaras Program berkenaan Zainuddin Idris berkata mereka memulakan kayuhan dari sini ke Besut sebelum mula menjelajah daerah lain.

Beliau berkata di sepanjang perjalanan, mereka akan turut mengedarkan risalah mengenai LTdL.

"Ini merupakan salah satu cara untuk membantu mempromosi LTdL 2014 kepada semua penduduk di negeri ini untuk sama-sama memberikan sokongan ketika kejohanan berlangsung nanti.

"Kita ke Besut pada hari pertama sebelum memulakan kayuhan esok ke Setiu dan seterusnya daerah lain," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mereka akan menyusuri laluan sebenar yang akan digunakan semasa LTdL nanti yang berakhir di Terengganu.

No comments:

Post a Comment