Wednesday, February 5, 2014

Jurulatih JDT Buat Laporan Polis Jadi Mangsa


Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), César Ferrando Jiménez semalam membuat laporan polis berhubung dakwaan kejadian di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu.

Menurut peguamnya, Datuk Baljit Singh Siddhu, dalam laporan itu Ferrando menyatakan bahawa beliau adalah mangsa dalam kejadian itu.

"Jiménez berkata beliau adalah mangsa dalam kejadian itu tetapi T-Team telah memutar belit fakta," katanya kepada pemberita di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan di Johor Bahru, semalam.

Menurut Baljit, Ferrando menyatakan bahawa instruktur kecergasan T-Team bertindak menarik kolar bajunya manakala pemain T-Team berjersi nombor 16 menolaknya.


"Kita akan lihat perkara ini secara terperinci dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana fitnah atau tohmahan mengenai perkara tersebut," katanya.

Setiausaha Kehormat JDT, Mohd Fahmy Yahya, turur hadir di balai polis tetapi pihak media yang turut berada di situ tidak diberikan salinan laporan polis tersebut.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Semalam pemain T-Team, pihak pengurusaan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Pemain dan jurulatih kecergasan T-Team yang didakwa terbabit ialah pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih Stefano Impagliazzo.

Kelmarin Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab. Rasid Jusoh mengesahkan bahawa pihak pengurusan skuad The Titans telah membuat laporan polis  berhubung insiden yang berlaku dalam perlawanan Piala FA dengan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Menurutnya, laporan tersebut telah dibuat oleh Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd. Zain di Kuala Terengganu pada pukul 9.10 malam semalam.

"Laporan itu dibuat supaya ada bukti dan atas faktor keselamatan pemain, bukan untuk mengeruhkan lagi suasana," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.

Aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru itu terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului 2-1 apabila semua pemain T-Team enggan kembali ke padang bagi memulakan permainan separuh masa kedua.

Mereka dikatakan tidak berpuas hati dengan insiden yang berlaku di dalam terowong ke bilik persalinan semasa rehat.

Menurut laporan polis itu, Syahrizan mendakwa pemain T-Team, Elvaldo Rodriguez telah ditumbuk di muka oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) manakala jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo telah disepak di bahagian kemaluan.

Bagaimanapun, Ab. Rasid meminta penyokong T-Team agar bertenang dan menunggu siasatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah kelab itu turut membuat aduan kepada badan induk itu. "Kami meminta penyokong menunggu siasatan FAM.

"Bagi saya insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku. Terdapat beberapa pemain import yang terkenal di peringkat antarabangsa dan insiden ini pasti memberi imej buruk kepada sukan bola sepak negara. 

"Walaupun kami membuat laporan polis, kami tidak mahu perkara ini terus berpanjangan. Kami hanya mahu bermain bola sepak dan tidak mahu perkara ini menjadi lebih keruh," katanya.

Kelmarin, FAM melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan satu mesyuarat khas akan diadakan pada Khamis ini bagi menentukan keputusan perlawanan atau perlawanan ulangan akan diadakan.

No comments:

Post a Comment