Pemain Kedah, Billy Mehmet (tengah) dihalang dua pemain Perlis dalam perlawanan Piala FA antara Kedah menentang Perlis di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam. |
Pasukan berstatus kelab, Selangor PKNS menyingkirkan Terengganu selepas mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Gol Selangor PKNS dijaringkan oleh Patrik Ronaldinho Wleh dan Primorac Karlo masing-masing pada minit ke-36 dan minit ke-78
Gol sagu hati Terengganu disumbangkan oleh kapten pasukan Ismail Faruqi Asha'ri pada minit ke-47.
Kekalahan ini meranapkan sasaran Terengganu FA yang berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA musim lalu untuk merangkul piala itu musim ini.
Sebelum ini, Terengganu mencatat kemenangan besar 4-0 menundukkan pasukan kelab dari Pahang dalam perlawanan kalah mati di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Selangor PKNS sebelum ini membenam cabaran Johor Darul Takzim II dengan keputusan 3-2 di Stadium Lumut, Perak.
Sementara itu, Sarawak terlebih dahulu menempah tiket ke suku akhir selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dalam aksi sebelah petang.
Zamri Morshidi menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol tunggal skuad 'Bujang Senang' pada minit ke-33.
Seperti yang diramal juara Piala FA 2013 iaitu Kelantan menyingkirkan Sabah 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu. Gol pertama pasukan tuan rumah diperoleh pada minit ke-45 hasil jaringan Mohammad Shawky sebelum Sabah menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Rosdin Wasli pada minit ke-51.
Ahmad Shakir Ali menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan 'The Red Warriors' pada minit ke-95.
Kedah mencatat kemenangan besar selepas membelasah Perlis 4-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Gol skuad 'Hijau Kuning' disumbangkan oleh Billy Mehmet Osman pada minit ke-43, Adam Griffiths (minit ke-53), Badrol Bakhtiar (minit ke-63) dan Khairul Helmi Johari (minit ke-90).
Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mudah melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan pendatang baharu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dengan kemenangan 2-0.
Gol PDRM disumbangkan oleh Chad Charles Souza pada minit ke-64 dan Bobby Gonzales tiga minit kemudian.
Felda United pula mengalahkan Sime Darby 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Zah Rahan Krangar menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol pada minit ke-84.
No comments:
Post a Comment