Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (tiga, kiri) bergambar bersama peserta ekspedisi ketika mengadakan lawatan ke Antartika baru-baru ini. |
Beliau berkata dakwaan pembangkang bahawa ekspedisi itu suatu pembaziran adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, beliau dan peserta rombongan yang lain mengambil risiko yang tinggi mengunjungi kutub selatan itu. "Saya ke Antartika atas undangan Institut Penyelidikan Antartika Chile.
"Ketika di sana kami menaiki kapal tentera laut Chile iaitu 'Aqulies' dan bukannya makan angin (melancong).
"Kalau saya nak makan angin, lebih baik saya tidak ke Antartika..nak beli apa di sana?..nak sentuh dan bawa balik penguin pun tak boleh.
"Kami sebenarnya mengambil risiko tinggi kerana cuaca di sana sukar diramalkan dan boleh berubah dalam masa yang singkat," kata Ahmad Said.
Beliau bercakap pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam, selepas menamatkan ekspedisi itu yang bermula 22 Januari lepas.
Hadir sama di sidang media itu Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah.
Ahmad Said berkata lawatan itu bertujuan membuka laluan bagi membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH).
Beliau berkata susulan kepada ekspedisi itu, satu seminar membabitkan saintis dari Malaysia dan Chile dijadual berlangsung pada Ogos depan bersempena 'The Biennial SCAR Open Science Conference and Delegates Meeting 2014'.
Lokasi persidangan dan mesyuarat itu akan diumumkan kelak, katanya.
No comments:
Post a Comment