Wednesday, February 5, 2014

20 Kedai Bebas Cukai Beroperasi di Tasik Kenyir 29 April

Imbas Kembali...Perasmian Festival Kenyir 2013
Dua puluh kedai barangan bebas cukai berjenama dijangka mula beroperasi dalam tempoh percubaan selama sebulan di Tasik Kenyir bermula 29 April.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafee, berkata ia adalah sebahagian daripada 23 aktiviti sempena Festival Kenyir yang akan berakhir pada 29 Mei.
"Ia adalah anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM2014) yang akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan kebudayaan, pameran jabatan kerajaan, pameran kerjaya, peluang menaiki helikopter dan menyaksikan bot berkelajuan tinggi.

"Usaha ini untuk menjadikan kawasan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama di Terengganu pada masa akan datang dan kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung sepanjang sebulan festival itu berlangsung," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penggiat seni dan kebudayaan, di Kuala Terengganu semalam.



Bagaimanapun, Mohd Jidin berkata, senarai kedai itu masih belum ditetapkan kerana masih dalam perbincangan peringkat akhir namun pelbagai barangan berjenama peralatan dapur, makanan dan pakaian terkenal akan dibuka sepanjang tempoh percubaan itu.

"Tempoh percubaan ini akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai barangan berjenama dengan harga yang murah seperti yang terdapat di lokasi bebas cukai seluruh negara.

“Kerja-kerja pembinaan kawasan bebas cukai di kawasan Tasik Kenyir dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan,” katanya.

Selain itu, menurut Mohd Jidin, kerajaan negeri Terengganu akan menaik taraf dan membaharui kemudahan infrastruktur termasuk sistem pembetungan, bekalan air dan elektrik di Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah, Pulau Redang dan Pulau Kapas secara berperingkat.

Katanya, langkah itu juga bertujuan meningkatkan aspek kebersihan dan keselesaan berikutan pertambahan bilangan pelancong ke empat pulau peranginan itu.

Beliau berkata di sebanyak 107,500 orang mengunjungi Pulau Perhentian pada 2012 dan 138,118 orang pada tahun lepas.

 "Dengan kemudahan yang agak terhad, ia tidak mampu menampung kedatangan pengunjung yang ramai dalam satu-satu masa. "Kos menaik taraf kemudahan ini melibatkan jumlah yang besar.

Sebahagian peruntukan akan ditanggung kerajaan negeri dan sebahagian lagi kerajaan Pusat," katanya semalam.

Mohd Jidin berkata kerajaan negeri juga akan meningkatkan kemudahan pengangkutan dan penginapan di pulau-pulau berkenaan dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dalam kalangan pengusaha bot dan feri.

"Laluan selamat atau bahaya di perairan pulau akan dipantau supaya kejadian lemas dan kemalangan bot tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, katanya keadaan cetek di muara jeti akibat mendapan pasir hingga menyebabkan kesukaran feri dan bot berlabuh, juga mendapat perhatian kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment