Friday, February 14, 2014

K'jaan Negeri Terengganu Sedia Kemudahan Wi-fi Percuma


Bagi memudahkan orang ramai dan pelancong mengakses internet, kerajaan negeri menyediakan kemudahan Wi-fi secara percuma di 600 lokasi strategik melibatkan peruntukan RM30 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kemudahan itu sedang dan akan dipasang di tempat-tempat tumpuan orang ramai terutama di semua Pejabat Daerah dan Tanah, stesen bas, pasar, kawasan bandar, perpustakaan dan Planetarium negeri termasuk pusat-pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN). 

"Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini (Kuala Terengganu) telah dipasang dengan kemudahan itu dan ia sudah boleh digunakan mulai semalam.


"Untuk tahun ini kita pasang dulu sebanyak 600 Wi-fi di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai, kalau tidak mencukupi kita akan tambah mengikut keperluan sesuatu tempat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival ICT Terengganu anjuran bersama Unit Pengurusan Maklumat Negeri dan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat Negeri A. Latif Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif PSKT Ahmad Farhan Abdul Wahab.

Ahmad Said berkata tempat-tempat yang menjadi tumpuan pelancong turut diberi keutamaan seperti di Kuala Besut dan kemudahan itu akan dipasang di jeti bot berkenaan kerana ramai pelancong yang akan ke Pulau Perhentian.

"Hasrat kita ialah untuk menyediakan kemudahan itu di semua tempat di negeri ini untuk orang ramai terutama pelancong dan orang muda mengakses maklumat yang sebelum ini mereka terpaksa ke hotel, siber kafe atau restoran yang mengenakan bayaran untuk mendapatkan kemudahan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment