Friday, February 14, 2014

Lima Individu Dipenjara, Didenda Palsukan Dokumen Diesel Subsidi

Gambar Hiasan...diesel subsidi dan lori tangki yang ditahan di Lak Lok, Besut pada 22 Ogos 2012.

Seorang lelaki dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM15,000 manakala empat lagi individu didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan bekalan diesel bersubsidi.

Pertuduhan yang dibuat secara berasingan itu membabitkan penipuan dokumen iaitu memalsukan bil tunai butiran penjualan hasil tangkapan laut yang diserahkan kepada juruisytihar di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Besut untuk mendapatkan kuota minyak diesel bersubsidi.

Hakim Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM15,000 atau penjara 15 bulan terhadap Adnan Hussin, 45, kerana mengemukakan hasil tangkapan ikan palsu berjumlah RM11,400 kepada LKIM pada 8.18 pagi, 19 Okt 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Empat lagi tertuduh, Engku Halim Engku Ismail, 47; Azrin Mohamad @ Mohd Usof, 28; Norazmalizan Abdullah, 38; dan Zuhairi Abu Bakar, 44, didenda RM7,000 atau tujuh bulan penjara kerana melakukan kesalahan itu antara 18 Okt dan 4 Nov 2013.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh membayar denda. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Shahidah Muslimah Roslan dan Mohd Hanafi Abdul Rahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Zulhelmi Mukhtar.

No comments:

Post a Comment