Tuesday, February 18, 2014

Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu Banyak Beribadat Sebelum Lemas...

Allahyarham Wan Hariff Rafany... 
Wan Hariff Rafany Wan Muda, Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Tajin, Kuala Berang di Hulu Terengganu semalam,  dikatakan banyak beribadat sejak kebelakangan ini.

Isterinya Norull Shazrina Shafie, 33, berkata suaminya yang beliau panggil 'Abi' didapati sering bersembahyang hajat, mengaji al-Quran dan berzikir.

"Saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi menganggapkan perbuatannya itu sebagai perubahan yang positif demi kebaikannya dan untuk kita sekeluarga," katanya di rumah bapa mentuanya di Kampung Limbongan, Besut hari ini.


Menurutnya, sebelum kejadian suaminya tidak meninggalkan sebarang pesanan dan hanya berbual perkara biasa dengan beliau dan dua anak mereka yang berumur empat dan enam tahun.

Mayat Wan Hariff Rafany ditemui terapung di Sungai Tajin, Kuala Berang di Hulu Terengganu pada Isnin ketika dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Wan Hariff Rafany, 35, dilaporkan hilang pada Sabtu lepas sebelum mayatnya di temui tiga pemancing di sungai itu.

Norull Shazrina, guru di sebuah sekolah menengah di Marang berharap orang ramai tidak mempunyai tanggapan negatif terhadap kematian suaminya dan menyerah kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Mayat Allahyarham dibawa balik dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu ke rumah bapanya pada pukul 8 malam Isnin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja selepas sembahyang Isyak.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh, Muhammad Pehimi Yusoff, Adun Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, Adun Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh dan ketua-ketua jabatan.

Sementara itu, hasil laporan bedah siasat yang dijalankan berhubung kematian Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany didapati tidak menunjukkan unsur jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata setakat ini mangsa dipercayai mati akibat lemas, namun pihaknya masih menunggu laporan toksikologi bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata laporan bedah siasat yang selesai diadakan pada pukul 6 petang semalam tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa.

"Siasat awal yang dijalankan ke atas mangsa lebih menjurus ke arah mati lemas dan kita juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada mangsa," katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu.

Menurut beliau, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan menyeluruh berhubung kematian mangsa.


Mangsa yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui masih lengkap berpakaian kemeja T berwarna oren serta berseluar trek yang pihak polis turut menemui kunci kereta di dalam poket seluar mangsa.

Manoharan berkata pihaknya juga telah merakam percakapan anggota keluarga, rakan sekerja serta individu yang mengetahui pergerakan mangsa bagi membantu siasatan. Beliau berkata setakat ini pihak polis mengklasifikasi kes sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Siasatan menyeluruh dari semua aspek sedang giat dijalankan dan sebaik siasatan selesai, kita akan merujuk kes ini kepada timbalan pendakwa raya," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang menerima laporan berhubung kes berkenaan melalui laman sosial, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan whatsapp agar tidak menyimpan dan mengedarkannya.


No comments:

Post a Comment