Sunday, February 16, 2014

PRK Dun Kajang: Masa Tepat Tuntut janji PR

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim menyarankan penduduk Kajang menjadikan pilihan raya kecil kawasan itu sebagai platform mendapatkan penjelasan daripada pembangkang mengenai janji mereka pada PRU13.

Katanya, mereka juga boleh bertanya mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR untuk menyelesaikan pelbagai isu termasuk masalah denggi dan bekalan air.

"Sekarang apa yang dilakukan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah menuding jari kepada kerajaan pusat, seolah-olah PKR dan sekutunya pihak pembangkang di Selangor bukan pemerintah," katanya dalam sidang media selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Muar, di Muar malam semalam.


"Yang menjadi pembangkang ialah Barisan Nasional (BN), yang dia berkelakuan seperti pembangkang itu pasal apa," kata Razali yang juga Ahli Parlimen Muar. Razali menyifatkan tindakan Anwar itu hanya untuk mengelirukan rakyat dan melepaskan diri daripada tanggungjawab dalam menyelesaikan pelbagai isu berbangkit di Selangor.

"Kalaupun tidak mahu berbincang dengan kerajaan pusat tidak apa, tetapi jangan jadikan kempen pilihan raya kecil Kajang sebagai gelanggang mengutuk kerajaan pusat," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, BN tidak akan menghukum pengundi Cina yang tidak menyokong BN dalam pilihan raya umum lepas.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan BN tetap memberi pelbagai bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang akan dilancar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Februari ini. Dalam majlis sama, Razali turut mengumumkan peruntukan RM120,000 kepada 38 cawangan MCA di kawasan parlimen itu.

No comments:

Post a Comment