Sunday, February 9, 2014

Selangor Lonjak Semula Ke Tangga Teratas Liga Super

Pemain Selangor K. Gurusamy (kiri) diasak oleh pemain Sime Darby, Failee Ghazli ketika cuba mengawal bola dalam perlawanan Liga Super di Stadium Selayang malam tadi. Selangor menang 2-1 .
Pasukan Selangor kembali melonjak ke persada Liga Super selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Sime Darby FC dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di Selayang, malam semalam.

Kemenangan itu membolehkan skuad Gergasi Merah kendalian Mehmet Durakovic meraih sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan liga.

Mohd Failee Mohamad Ghazali bagaimanapun mengejutkan pasukan pelawat menerusi jaringan seawal minit kedua sebelum penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel muncul wira skuad Gergasi Merah selepas meledak dua gol masing-masing pada minit ke-40 dan 85.


Pasukan Perak turut meraih tiga mata selepas mengalahkan Kelantan dengan keputusan yang sama di Stadium Perak, Ipoh. Ahmad Shukri Abdul Hamid meletakkan skuad Seladang di hadapan pada minit ke-12 sebelum penyerang import dari Mesir, Mohamed Shawky menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-55.

Khairul Asyraf Sahizah memastikan tiga mata penuh menjadi milik Perak dengan gol kemenangan pada minit ke-78.

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia dan wakil kelab dari Terengganu, T-Team sekadar berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Azlan Ismail terlebih dahulu meletakkan skuad 'The Titans' di hadapan seawal minit ke-12 sebelum Norfadzly Alias menyamakan kedudukan pada minit ke-39.

Pemain import dari Argentina, Bruno Sebastian Martelotto kembali meletakkan ATM di hadapan pada minit ke-60 sebelum Khairan Ezuan Razali menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-90.

Terdahulu, ATM dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohammad pada minit ke-66 selepas Mohd Hasbullah Awang menjatuhkan Bruno dalam kotak penalti T-Team.

Bagaimanapun, sepakan yang diambil oleh Juan Manuel Arostegui berjaya diselamatkan oleh penjaga gol T-Team, Mohd Shahril Sa'ari.

Juara Liga Super musim lepas, Lions XII dari Singapura dan Terengganu turut berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Stadium Jalan Besar, Singapura.

No comments:

Post a Comment