Sunday, February 23, 2014

Siasatan SPRM – Jika Ahmad Said Tidak Gentar, Siapa Yang Sedang Menggeletar?


"Sudah enam kali laporan dibuat kepada SPRM Terengganu dan ini merupakan kali pertama melaporkannya kepada SPRM pusat. Antara kes yang dilaporkan ialah mengenai dakwaan penyelewengan berkaitan pembalakan, peruntukan untuk membaiki semula stadium yang runtuh dan peruntukan perbelanjaan pusat kepada kerajaan negeri pada tahun lepas."


KUALA TERENGGANU (23 Februari 2014) - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ternyata tidak gentar dan bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan projek kerajaan di Terengganu.

"Saya sedia disiasat SPRM...saya serahkan kepada SPRM untuk selesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan masyuarat agung Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di Kemaman, semalam.

Jika beliau tidak gentar dan sebelum ini pernah bersumpah dengan nama Allah mengenai kes penyelewengan pemberian konsesi balak, apakah ada ‘orang tertentu’ yang dikaitkan dalam laporan kepada SPRM semalam.

Menurut sumber, walaupun Menteri Besar seolah-olah menyifatkan laporan yang dibuat olah beberapa pemimpin pembangkang sebagai ‘tidak lengkap’, namun ada satu atau dua perkara yang ‘mungkin sangkut’.

Malah, dalam laporan berkaitan isu balak, dikatakan ada beberapa individu disebut secara nyata untuk disiasat SPRM.

Malah, ada individu yang disebut terang-terangan bertindak bagi pihak Menteri Besar dan kerajaan negeri, menggunakan kuasanya bagi mengutip bayaran tertentu daripada konsesi di keluarkan.
 
Tidak diketahui sama ada bayaran berkenaan berkenaan untuk kerajaan negeri atau tabung tertentu yang dikhususkan untuk kepentingan Menteri Besar.


Sebelum ini, SPRM Terengganu dikatakan ada menerima laporan mengenai rasuah, penyelewengan, salah urus dan salah laku yang mungkin melibatkan Menteri Besar Terengganu.

Setiap syarikat pembalakan masing-masing diagihkan kawasan seluas 1,000 ekar kepada 12 buah syarikat konsesi.

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi sebelum ini menyebut : “Kita dapati sebanyak 12 (syarikat) pembalak dikehendaki membayar setiap syarikat RM2.5 juta kepada sebuah syarikat guaman di Kuala Lumpur.

Selain, membayar secara rasmi premium kepada kerajaan negeri Terengganu, mereka kena bayar ‘under table’ RM2.5 juta. “Dua dokumen telah diserahkan kepada pihak SPRM Terengganu untuk tindakan selanjut. Insya Allah, kita mengharapkan sesuatu yang positif,” ujarnya pada satu sidang media di lobi pejabat SPRM Terengganu pada 1 Mac 2013 lalu.

Menurutnya, hasil kutipan ‘under table’ RM2.5 juta yang dikenakan kepada 12 buah syarikat pembalakan tersebut mencecah RM30 juta.

Laporan media menyebut, pembangkang Terengganu semalam sekali lagi membuat laporan rasmi SPRM terhadap Menteri Besar Terengganu,  dan beberapa pihak lain atas dakwaan penyelewengan dan melakukan rasuah.

Syed Azman  berkata sekurang-sekurangnya enam kes dibawa bersama kali ini bagi menyerahkannya kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kasim Mohamed.

Gambar Fail...Dr Syed Azman dan Raja Bahrin menyebut penyelewengan kerajaan Terengganu antara 2009-2013.
Beliau bersama Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail yang juga Adun Bandar dan Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menyerahkan apa yang didakwa sebagai dokumen berkaitan salah laku danpenyelewengan kerajaan negeri itu kepada SPRM di Kuala Lumpur.

Enam dokumen yang diserahkan berkaitan dengan isu Pasar Payang, pembalakan, perlombongan, Lebuhraya Pantai Timur 2 dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Seperti yang kita tahu peruntukkan untuk kerajaan negeri diberi setahun sebanyak RM2.2 bilion tetapi sehingga kini negeri Terengganu adalah di antara negeri yang termiskin dan rakyat- rakyat terbeban," katanya kepada pemberita di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia petang semalam.

Antara kes yang dilaporkan ialah mengenai dakwaan penyelewengan berkaitan pembalakan, peruntukan untuk membaiki semula stadium yang runtuh dan peruntukan perbelanjaan pusat kepada kerajaan negeri pada tahun lepas

Azman selain itu berkata sudah enam kali pihaknya melaporkan perkara tersebut kepada SPRM Terengganu dan ini merupakan kali pertama melaporkannya kepada SPRM pusat.

Bagaimanapun sebelum ini Menteri Besar Terengganu, Ahmad pernah menafikan penglibatannya dalam skandal balak seperti yang dituduh pembangkang dengan bersumpah nama Allah.


Menteri Besar melakukan sumpah itu ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu dengan SPRM.

Katanya pada majlis itu : "Secara kebetulan pula, pada hari ini ada program SPRM, jadi saya bersumpah menafikan tuduhan itu, saya tidak takut kerana tidak buat, ambil duit dan sebagainya (seperti yang dituduh). "Itu bukan cara saya (untuk cepat kaya). "Saya pernah disiasat selama tiga tahun setengah oleh SPRM...tapi tiada kes (bebas), sebab itu kalau mereka nak tuduh, saya tak bimbang, pergilah lapor kepada SPRM dan tunggu SPRM lakukan siasatan...tak perlu nak berdemonstrasi depan Wisma Iman untuk main politik,” katanya.

Semalam Ahmad Said menyifatkan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi membuat laporan SPRM itu tidak lebih sekadar permainan politik.

Ahmad Said berkata, beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuksiasatan itu.

"Selebihnya...saya enggan komen," katanya.

No comments:

Post a Comment