Buat julung kalinya Yayasan Terengganu (YT) akan menghantar enam pelajar tajaannya untuk mengikuti kursus lanjutan kejuruteraan automotif di Jerman selama empat tahun pada 14 Mac depan.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata serentak itu juga kerajaan negeri melalui YT akan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama pengeluar kenderaan terkemuka di negara itu termasuk Mercedes-Benz dan BMW untuk penempatan pelajar Terengganu ketika menjalani latihan industri di sana.
"Kesemua enam pelajar itu adalah antara pelajar cemerlang ketika mereka menuntut di German-Malaysia Institute (GMI) sebelum ini dan langkah YT untuk menghantar mereka menguasai kejuruteraan automotif itu adalah tindakan bijak kerana ia adalah antara bidang industri kritikal yang sangat memerlukan tenaga pakar anak tempatan ketika ini.
"MoU itu juga adalah antara langkah awal YT dalam usaha merintis kejayaan lebih besar dalam bidang kejuruteraan automotif di kalangan anak jati Terengganu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di Kemaman, semalam.
Jumlah pembiayaan enam pelajar itu sepanjang melanjutkan pelajaran ke Jerman, bagaimanapun masih belum diputuskan secara terperinci, katanya.
No comments:
Post a Comment