Sunday, February 16, 2014

Terengganu Melonjak Tangga Teratas Liga Super

Pemain Terengganu, Marcio Sauza terjatuh ketika diasak pertahanan Pahang, MOhd Shahrizan pada aksi Liga Super di Kuala Terengganu malam tadi.
KUALA TERENGGANU (16 Februari 2014) - Untuk kali pertama sejak beberapa musim Liga Malaysia Malaysia kebelakangan ini, Terengganu melonjak ke tangga teratas Liga Super selepas mengalahkan Pahang 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam semalam.

Kemenangan tersebut hasil jaringan Mario Karlovic pada minit ke-20 dan Ismail Faruqi (69') membolehkan skuad Penyu mengumpul 10 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Selepas sekadar terikat tanpa jaringan ketika menentang Lions XII pada Sabtu lalu, skuad Penyu yang merampas gelaran pendahulu liga daripada Selangor yang tewas 1-4 kepada Johor Darul Takzim (Johor DT), kini mengutip 10 selepas mengharungi lima perlawanan.

Beraksi di depan 10,000 penyokong fanatik, pasukan tuan rumah bermula garang menerusi pemain import, Marcio Souza dan Pemain Terbaik Kebangsaan 2013, Mohd. Nor Farhan Mohamad sebaik aksi separuh masa pertama bermula.

Begitupun, skuad Penyu memastikan kelebihan menjadi milik skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu apabila memperoleh gol pembukaan menerusi Mario Karlovic pada minit ke-20.

Jaringan itu hadir apabila perancang kelahiran Australia itu berjaya memanfaatkan sepakan percuma yang berjaya mengelirukan penjaga gol muda skuad Tok Gajah, Khairul Azhan Khalid.

Bersambung di babak kedua, Terengganu terus menguasai permainan dengan melancarkan serangan bertali arus tetapi benteng pertahanan pasukan pelawat yang diketuai Zeshan Rehman dan Mohd. Shahrizan Salleh berjaya mematahkan setiap serangan dari skuad Penyu.

Bagaimanapun, kapten Terengganu, Ismail Faruqi memastikan tiga mata menjadi milik skuad Penyu dengan meledak gol kedua pada minit ke-69.

Skuad pelawat yang terdesak untuk mencari jaringan, akhirnya terpaksa akur apabila keputusan 0-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Selepas aksi menentang Pahang,

Terengganu bakal menentang Selangor untuk aksi keenam Liga Super, 8 Mac depan.

Johor Darul Ta'zim (JDT) pula mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas pendahulu liga sebelum ini Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Skuad Harimau Selatan selesa mendahului Selangor pada separuh masa pertama hasil jaringan kapten pasukan Baihakki Khaizan pada minit ke-12 sebelum Hariss Harun menggandakan kedudukan pada minit ke-33.

JDT terus bernafsu untuk menambah jaringan dan berjaya meraih dua lagi gol menerusi penyerang import dari Argentina, Luciano Figueroa pada minit ke-52 dan Mohamad Fadhli Mohd Shas (59'). Selangor merapatkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Paulo Rangel pada minit ke-68 selepas beliau dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Baihakki.

Kelantan juga meraih tiga mata selepas menewaskan wakil kelab dari Terengganu T-Team 3-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu hasil jaringan Mohamed Shawky pada minit ke-32, Mohd Badhri Radzi (45') dan Mohamed Ghaddar (84').

Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak menang tipis 1-0 ke atas Perak hasil jaringan Milorad Janjus seawal minit ketujuh. Terdahulu pasukan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-70 selepas Junior Eldstal menerima kad kuning kedua daripada pengadil perlawanan Sukri Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas kalah 1-2 kepada Lions XII dari Singapura pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Amiridzwan Taj Tajudin terlebih dahulu meletakkan skuad The Gladiators di hadapan menerusi tandukan seawal minit keempat hasil sepakan percuma yang diambil Bruno Sebastian Martelotto.

Pasukan pelawat bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya meraih dua gol masing-masing menerusi Khairul Amri pada minit ke-47 sebelum Muhammad Afiq Yunos mengesahkan kemenangan mutlak pasukan pelawat pada minit ke-91.

Liga Malaysia akan berehat sementara bagi memberikan laluan kepada persiapan skuad bola sepak kebangsaan menghadapi aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada 5 Mac ini.

No comments:

Post a Comment