Friday, February 21, 2014

Terengganu Tambah Tanaman Kelapa Matag Di Kawasan 80 Hektar

Jabatan Pertanian Terengganu akan membelanjakan lebih RM1.45 juta tahun ini bagi meningkatkan penanaman kelapa hibrid Matag di kawasan seluas 80 hektar dalam usaha meningkatkan pendapatan petani.

Pengarahnya Md Yusof Maidin berkata jabatan itu merancang menanam 10,680 kelapa Matag, yang nama saintifiknya Cocos Nucifera 'Matag', di kawasan seluas 60 hektar di Kubang Puyu Calok, Setiu.

Selain itu, kelapa Matag juga akan ditanam di kawasan seluas 10 hektar masing-masing di Kampung Kelulut dan Kampung Batu Putih di Marang dengan anggaran 1,780 batang poko," katanya kepada Bernama di sini, kelmarin.

Beliau berkata tahun lepas, kira-kira 25 hektar kawasan di negeri ini ditanam dengan kelapa Matag, iaitu kacukan kelapa Filipina dan Malaysia dengan kos RM750,000.

Setakat ini, Jabatan Pertanian Terengganu telah menanam seluas 153 hektar kelapa Matag di seluruh ini dan 30 hektar daripadanya telah mengeluarkan hasil sejak 2010. Md Yusof berkata kelapa Matag boleh mengeluarkan buah antara 100 dan 120 biji setahun berbanding kelapa tempatan iaitu antara 50 dan 60 biji setahun.

Beliau juga berkata Jabatan Pertanian Terengganu akan menanam 25,000 pokok kelapa Pandan (Cocos Nucifera) di kawasan seluas 92 hektar di Kemaman, Dungun dan Marang tahun ini untuk menampung permintaan penjual air kelapa di negeri itu.

Kelapa pandan kini ditanam di kawasan seluas 456 hektar dengan 166 hektar daripadanya telah mengeluarkan hasil.

1 comment: