Saturday, February 15, 2014

YPK Peruntuk RM8j Untuk Program Pembangunan Keluarga

Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu memperuntukkan RM8 juta untuk melaksanakan empat program besar membabitkan pembangunan keluarga dan gejala sosial di negeri itu.

Pengarah YPK, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata program terbabit ialah meningkatkan kualiti hidup keluarga, menguruskan isu sosial dalam kalangan masyarakat, menjana pendapatan keluarga miskin dan membangunkan masyarakat secara menyeluruh.

"Peruntukan untuk program ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lepas sebanyak RM4 juta," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, program akan diadakan di semua lapan kawasan parlimen di Terengganu yang akan memilih satu kawasan Dewan Undangan Negeri untuk pelaksanaan program.

Untuk program meningkatkan kualiti hidup keluarga, YPK akan menumpukan kepada pemupukan sikap cakna dalam kalangan anggota keluarga, katanya.

Berkaitan pengurusan isu sosial pula, beliau berkata program membabitkan dialog dengan keluarga remaja bermasalah yang masih bersekolah.

Beliau berkata, program menjana pendapatan pula menumpukan kepada keluarga muda yang miskin, menerusi pemberian pinjaman modal perniagaan tanpa faedah kepada yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Mohd Shafaruddin berkata, tahun ini YPK akan menaikkan pinjaman maksimum daripada RM10,000 kepada RM20,000.

YPK menyediakan peruntukan RM5 juta untuk tujuan itu, katanya.

No comments:

Post a Comment