Monday, March 3, 2014

200 Nelayan Terpilih Kumpulan Perintis Projek Komuniti Oleh ECER, UMT

Sejumlah 200 nelayan dari daerah Mersing, Johor menjadi kumpulan perintis dalam sebuah projek komuniti anjuran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan kerjasama pintar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang dijangka bermula pertengahan tahun ini.

Pengarah Pusat Jaringan Penyelidikan ECER-UMT Profesor Madya Dr Nur Azura Sanusi berkata universiti itu akan menggunakan kemahiran tenaga pengajarnya bagi mengubah minda 200 nelayan terbabit agar sedia bergelar usahawan dalam industri perikanan negara.

"Selama ini, mereka memang mempunyai kemahiran menangkap ikan... namun ia terhenti setakat itu sahaja kerana tidak menggunakan potensi yang ada untuk turut serta dalam industri yang lebih besar berkaitan perikanan.

"Justeru, menjadi tanggungjawab kami untuk membentuk mereka menjadi usahawan dan projek ini akan mengambil masa tiga tahun untuk kita melihat impaknya yang pasti memberi kesan positif terhadap industri perikanan dalam negara," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Ketika ini terdapat kira-kira 8,000 nelayan di Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu manakala 200 orang yang terpilih mewakili 2,000 nelayan dari daerah Mersing.

Nur Azura berkata pihaknya akan memindahkan semua pengetahuan dan kemahiran ahli akademik universiti itu dalam membangunkan potensi 200 nelayan terbabit termasuk mengadakan kursus bagi mendedahkan mereka kepada selok-belok asas perniagaan.

"Kita akan dedahkan bagaimana mahu membuat rancangan perniagaan, pengurusan akaun syarikat, penggunaan teknologi dan komunikasi canggih seperti amalan nelayan dari negara maju seperti Jepun yang jauh lebih maju dalam bidang perikanan.

"Projek ini adalah sebahagian komponen pemindahan ilmu dan kepakaran dari UMT kepada komuniti nelayan dengan peruntukan yang diminta dari ECER sebanyak RM2 juta," katanya.

Projek komuniti UMT bersama ECER yang lain ialah ternakan kambing Besut-Setiu Agropolitan, pemuliharaan alam semula jadi Tanah Bencah Setiu serta penternakan ikan kelah dan mutiara air tawar di Tasik Kenyir.

No comments:

Post a Comment