Thursday, March 6, 2014

250 Petugas Media Dijangka Sertai Pesta Candat Sotong Terengganu

Gambar hiasan...candat sotong
Dua ratus lima puluh petugas media dari dalam dan luar negara dijangka menyertai Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014 yang berlangsung dari 11 hingga 16 Mei ini.

Pengurus Kanan Tourism Terengganu, Ishamudin Hashim berkata program itu dianjurkan khas untuk petugas media sahaja termasuk wakil media cetak, media elektronik, penulis majalah dan blogger kembara. 

"Program sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 itu bertujuan memperhebatkan lagi promosi aktiviti mencandat sotong, terutama di kalangan media dari luar negara," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu semalam.


Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan di mana kesemua wakil media dibawa melawat ke Setiu Wetland, Tasik Kenyir, Taman Tamadun Islam, Pulau Bidong, Muzium Negeri Terengganu dan ke Pasar Besar Kedai Payang, katanya.

Pengalaman wakil media itu diharap dapat dipromosikan melalui berita, dokumentari dan rencana siaran dan terbitan mereka untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke Terengganu.

Ishamudin berkata rombongan media itu juga akan dibawa menerokai keindahan alam yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu termasuk pulau, tasik dan hutan yang masih terpelihara daripada pencemaran.

Segala kos pengangkutan, penginapan, makan minum dan program lawatan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri Terengganu dan pihaknya sudah mula menjemput wakil media dalam dan luar negara untuk menyertainya, katanya.

No comments:

Post a Comment