Thursday, March 6, 2014

Hanelang FC Berdebar Lalui Perlawanan Sulung Liga FAM Ahad Ini

Hanelang FC yang berpangkalan di Hulu Terengganu merasa debaran bakal pertama kali bermain dalam Liga FAM bertemu Sabah Cebagoo FC di Sabah Ahad ini.

Skuad ini yang dibarisi 25 pemain yang seterusnya akan menentang pula Harimau Muda C pada 12 Mac. 

Namun pengendalinya Mustafa Kamal Abdul Wahab optimis pasukannya mampu memberi saingan kepada pasukan lain.

"Saya sangat berpuas hati dengan penampilan pemain yang telah kita pilih kerana skuad kita juga terdiri daripada pemain Piala Presiden dan Piala Emas Raja-Raja serta pemain yang menonjol dalam Liga Darul Iman tahun lepas.

"Dari segi persediaan, memang kita telah membuat persediaan rapi dengan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan lain termasuk T-Team serta beberapa pasukan Liga Super," katanya.

Majlis pelancaran Hanelang FC diadakan di Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Rozi Mamat yang turut disertai Pengurus Hanelang FC, Talaha Ali yang juga Yang Dipertua MDHT.

Mustafa Kamal berkata pihaknya tidak meletak sasaran tinggi namun optimis skuad tersebut mampu beraksi dengan baik.

"Kita tubuhkan pasukan ini untuk mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya kepada anak Terengganu yang mana ia termasuk dalam pembangunan sukan bola sepak negeri dan kita adakan keserasian antara pemain untuk mereka beraksi dengan cemerlang dalam Liga FAM," katanya. Rabu Mac 5, 2014

No comments:

Post a Comment