Saturday, March 8, 2014

38 Yang Dirawat Keracunan Makanan Di Terengganu Dibenar Pulang Kelmarin

Menteri Besar dan isteri melawat mangsa keracunan makan di HSNZ petang Rabu lalu.
Tiga puluh lapan daripada 114 orang yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat termakan makanan tercemar yang dibeli dari Padang Shah Bandar dan Pasar Malam Padang Hiliran minggu lepas dibenarkan pulang Kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Negeri, Muhammad Pehimi Yusoff berkata pegawai perubatan mendapati mereka telah sihat dan dibenarkan pulang 7 pagi Khamis.

Buat masa ini, 76 orang terdiri daripada 44 dewasa dan 32 kanak-kanak masih dirawat tetapi keadaan mereka stabil, katanya kepada para pemberita.

Beliau berkata antara 28 Feb dan 1 Mac lepas, 155 orang yang mengunjungi Pasar Malam Hiliran membeli makanan yang dipercayai tercemar daripada seorang peniaga, mengalami cirit birit dan muntah selepas memakannya.

Bagaimanapun, 41 orang daripada mereka hanya diberikan rawatan sebagai pesakit luar sahaja, katanya. Kejadian itu juga menyebabkan seorang kanak-kanak Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme, 5, meninggal dunia kira-kira 1 tengah hari Isnin lalu ketika dalam perjalanan menerima rawatan lanjut di HSNZ juga akibat memakan makanan yang dibeli bersama bapanya.

Pehimi juga berkata 31 contoh termasuk makanan, permukaan dapur dan permukaan alatan masakan dihantar untuk diuji di Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) Kuala Lumpur bagi mendapatan pengesahan

 "Keputusan mengenai ujian itu dijangka diketahui dalam masa dua atau tiga hari lagi," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati keracunan makanan itu berpunca pada satu daripada empat jenis makanan yang dijual di pasar malam berkenaan.

Ekoran kejadian itu, Jabatan Kesihatan Negeri mengarahkan peniaga terbabit menghentikan jualan buat sementara waktu.

Di DUNGUN, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud berkata para peniaga makanan di negeri ini perlu sentiasa menjaga kebersihan dan kualiti makanan jualan mereka dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

"Bila mereka menjual dalam keadaan yang bersih, pelanggan dapat menikmati makanan yang sihat dan keracunan makanan tidak akan terjadi seperti yang berlaku dua tiga hari lalu di negeri ini," katanya.

Roslee berkata pihaknya juga menyarankan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Kesihatan Negeri lebih kerap mengadakan pemantauan di pasar-pasar malam serta kedai makan di seluruh negeri memandangkan ia menjadi tumpuan ramai.

No comments:

Post a Comment