Saturday, March 8, 2014

Kerajaan Terengganu Tingkatkan Jumlah Dana Program Jaya Diri Kepada RM20,000

Kerajaan negeri Terengganu bersetuju meningkatkan jumlah pembiayaan Program Penjanaan Ekonomi Keluarga Miskin (Program Jaya Diri) sebanyak 100 peratus daripada RM10,000 kepada RM20,000 bermula pada akhir suku pertama tahun ini.

Program Jaya Diri dilaksanakan di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bertujuan melatih keluarga miskin dengan kemahiran asas pengurusan diri untuk meningkatkan pendapatan keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Muhammad Pehimi Yusof berkata kerajaan negeri telah bersetuju dalam mesyuarat exco kerajaan baru-baru ini untuk menaikkan jumlah pembiayaan kepada peserta di bawah program tersebut berdasarkan kos yang diperlukan untuk memulakan perniagaan.

"Keputusan (untuk menambah jumlah pembiayaan) ini dibuat berdasarkan kepada keperluan modal seorang usahawan baharu untuk memulakan perniagaan.

"Ini termasuklah membeli bahan-bahan mentah dan kos menyewa lokasi atau membina tempat untuk perniagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Pelatih Jahitan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Khas Sesi 2013 kelmarin.

Timbalan Pengarah Program YPKT Ramlah Idris berkata sehingga Februari lepas, YPKT telah membiayai 15,929 peserta program dengan jumlah pembiayaan RM47.44 juta sejak program diperkenalkan pada 1995.

Ramlah juga berkata YPKT telah menerima peruntukan sebanyak RM1 juta daripada kerajaan persekutuan di bawah dana Rancangan Malaysia Kesepuluh pada tahun lepas.

Beliau turut berharap supaya lebih ramai lagi peserta akan mengikuti latihan tersebut terutama anak Terengganu yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

No comments:

Post a Comment