Thursday, March 6, 2014

Ahmad Said Dukacita Kejadian Keracunan Makanan


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, semalam melahirkan rasa dukacita dengan kejadian keracunan makanan yang menyebabkan seorang kanak-kanak maut Isnin lalu manakala 106 orang lagi terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan kejadian berpunca daripada mee goreng, kue tiau goreng dan nasi goreng yang dibeli di pasar malam Padang Syah Bandar pada Jumaat dan pasar malam Padang Hiliran pada Sabtu lalu.

"Ada antara peniaga pasar malam ini kurang menjaga kebersihan sehingga menyebabkan kejadian keracunan makanan.

"Terdapat juga lesen berniaga nama orang lain tetapi yang berniaga orang lain, jadi kita harap Pihak berkuasa Tempatan (PBT) lebih kerap membuat pemantauan mengenai perkara ini dan mengambil tindakan berasaskan undang-undang," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat 85 mangsa keracunan yang masih menerima rawatan di HSNZ di sini hari ini. Seramai 21 lagi sudah dibenarkan keluar hospital.

Turut mengiringi Menteri Besar ialah Pengarah JKNT, Datuk Dr Anwa Sulaiman dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof.

Ahmad Said menasihatkan semua peniaga mengamalkan sikap tanggungjawab dengan memastikan kebersihan makanan dijual mereka dan mengutamakan keselamatan orang ramai.

Mengenai tiga peniaga pasar malam berkenaan, Ahmad Said berkata tindakan akan diambil ke atas mereka berasaskan undang-undang.

Sementara itu, Dr Anwa berkata daripada 106 dimasukkan ke hospital Sabtu lalu sehingga pagi ini, 21 daripada mereka sudah dibenarkan keluar manakala 85 masih dirawat dan 35 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Daripada 12 contoh najis pesakit yang diambil didapati sembilan adalah positif mengandungi bakteria salmonella," katanya.

Kelmarin, seorang kanak-kanak, Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme, 5, meninggal dunia kira-kira 1 tengah hari ketika dalam perjalanan menerima rawatan lanjut di HSNZ akibat keracunan makanan.

Dr Anwa berkata, pihak hospital sudah mengambil sampel air tulang belakang dan darah dari jantung kanak-kanak itu untuk mengenal pasti punca kematiannya.

No comments:

Post a Comment