PERMAISURI (6 Mac 2014) - Siasatan kematian Penolong Kanan Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu, yang mayatnya ditemui di Sungai Tajin, Hulu Terengganu, bulan lalu, kini di peringkat akhir.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustafa, berkata siasatan kematian Wan Hariff Rafany Wan Muda, 35, dijangka selesai dalam masa terdekat.
“Sebaik selesai, kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut” Jamshah Mustafa, Ketua Polis Terengganu.
“Saya menasihati orang ramai supaya jangan dengar dan terbabit dengan spekulasi ini (punca kematian Wan Hariff Rafany) kerana ia tidak adil kepada arwah dan keluarganya,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian watikah pelantikan pemimpin muda dan pelancaran sifar masalah disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tong, Setiu di semalam.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Rahman Mohamed dan Pengetua SMK Sungai Tong, Mohd Zamli Muda.
Misteri terjawab
Misteri kehilangan Wan Hariff Rafany sejak 15 Februari terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di Sungai Tajin, Hulu Terengganu pada 17 Februari lalu.
Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian baju-T berwarna jingga dan seluar trek biru gelap, ditemui terapung tiga remaja yang memancing di sungai itu jam 10.30 pagi.
Bagaimanapun, persoalan bagaimana mangsa lemas menjadi tanda tanya berikutan kereta Audi A4 miliknya ditemui dalam keadaan baik dan berkunci, kira-kira empat kilometer dari tempat mayatnya dijumpai.
No comments:
Post a Comment