Saturday, March 29, 2014

Awas Terengganu - Kelantan Mahu Bangkit Selepas Tewas Tiga Kali

Tiga pemain baru pasukan Kelantan (dari kiri) Brendan Gan, Wan Zack Haikal dan Mohd Fitri Omar

Berhati-hati Terengganu!

Kelantan mahu bangkit pada perlawanan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, hari ini, setelah tewas tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini, kata pengurus pasukan Azman Ibrahim.

"Kami perlu dapatkan kembali momentum selepas tewas tiga kali berturut-turut, kami tidak mahu kekalahan yang berterusan ini menjejaskan keyakinan pemain," katanya semalam.

The Red Warriors (TRW) tewas 3-2 kepada kelab Vietnam, XM Vissai Ninh Binh (VNB) pada 18 Mac bagi perlawanan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kemudian bagi Liga Super pasukan itu tewas 1-0 kepada Selangor pada 22 Mac dan yang terakhir tewas 2-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu pada Selasa lepas.

Beliau berkata pihaknya akan mempertaruhkan dua muka baharu iaitu Brendan Gan dan Fitri Omar setelah dua tonggak utama iaitu Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Ali tidak dapat beraksi.

"Ahmad Fakri Saarani digantung satu perlawanan kerana menerima kad kuning ketiga manakala Shakir terpaksa diketepikan setelah mengalami kecederaan ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Selasa lalu.

"Kita harap Brendan dapat bermain kerana dia telah mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC), manakala Fitri pula telah pamerkan aksi yang menyakinkan Selasa lalu," katanya.

Azman berkata pihaknya turut menyenaraikan dua pemain import Mohammad Ghaddar dan Mohd Shawky Aly pada perlawanan menentang pendahulu liga super itu.

"Mereka akan ke Terengganu tetapi kami akan tengok dahulu perkembangannya sama ada mereka boleh bermain atau tidak," katanya.

Kelantan kini berada di kedudukan keenam liga selepas sembilan perlawanan dengan 13 mata, tiga mata di belakang pendahulu liga iaitu Terengganu yang bermain kurang satu perlawanan..

Sementara itu, beliau berkata perlawanan menentang pendahulu liga iaitu Terengganu merupakan satu tugas yang sukar kerana pasukan tersebut bermain dengan baik pada musim ini.

 "Kami harap dapat beri saingan dan mengutip sekurang- kurangnya satu mata. Mereka mempunyai barisan pemain yang berkualiti selain mempunyai penyokong yang ramai dan ia satu tugas yang sukar," katanya.

No comments:

Post a Comment