Saturday, March 29, 2014

Banjir Kilat Diramal Sepanjang Peralihan Monsun 28 Mac 2014

Banjir kilat dan pokok tumbang mungkin berlaku sepanjang tempoh peralihan monsun yang dijangka bermula esok sehingga awal Mei depan.

Pengarah Khidmat Korporat dan Komersial Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata perubahan angin monsun akan menyebabkan hujan lebat, angin kencang dan ribut petir sekitar negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, pedalaman Kelantan, Terengganu serta Pahang.

Kuantiti hujan sepanjang peralihan monsun ialah sebanyak 150 hingga 250milimeter sebulan, bergantung kepada jumlah yang diterima di satu-satu tempat, katanya.


Mohd Hisham berkata peralihan angin monsun berlaku berikutan keadaan matahari yang kini berkedudukan paling hampir di atas Malaysia.

Beliau berkata ini akan menghasilkan banyak pancaran seterusnya membawa pergerakan 'angin ringan' dari pelbagai arah.

"Oleh itu, pergerakan angin ringan dari pelbagai arah ini akan menyebabkan keadaan cuaca hujan lebat dan ribut petir lebih mudah terbentuk terutama di sebelah petang," katanya.

Mohd Hisham juga menjangkakan peralihan monsun akan menyebabkan cuaca kembali lembab dan berupaya membantu memulihkan masalah kekurangan air di beberapa kawasan, terutama Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam perkembangan lain, Mohd Hisham berkata Lembaga Urus Air Selangor(LUAS) meminta pihaknya menjalankan proses pembenihan awan di kawasan empangan air selama tiga hari berturut-turut, bermula semalam.

Beliau berkata keseluruhan kos pembenihan awan kali ini ditanggung sepenuhnya oleh LUAS. Katanya, kali terakhir MetMalaysia menjalankan proses pembenihan awan ialah 21 Mac lepas dan keseluruhan kos ditanggung oleh kerajaan.

No comments:

Post a Comment