Sunday, March 30, 2014

Bekas Pegawai Tadbir Terengganu Layak Terima Rawatan Percuma Sakit Jantung

Pembedahan jantung di iHEAL
Sebagai menghargai jasa dan sumbangan bekas pegawai tadbir kerajaan negeri Terengganu, mereka bakal menerima rawatan percuma di hospital pakar jantung, iHEAL Medical Centre milik kerajaan negeri di Kuala Lumpur.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata bantuan itu diharap dapat menceriakan kehidupan 66 bekas pegawai tadbir berkenaan yang telah bersara.

"Kerajaan negeri memahami keperluan mereka ini yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga dalam pembangunan negeri.

Wajarlah kita menghargai mereka terutama dalam aspek penjagaan kesihatan.

"Walau sudah bersara, mereka masih lagi mendekati masyarakat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan secara tidak langsung kepada rakyat bawahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-10 Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu semalam.

iHEAL Medical dikendali TDM Berhad, anak syarikat milik kerajaan negeri.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1976, Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu telah melakukan pelbagai aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan antara rakyat dengan kerajaan meragkumi pelbagai aspek

 Presiden persatuan itu, Datuk Alwi Mohamad mengalu-alukan pengumuman Ahmad yang membuktikan keprihatinan beliau terhadap bekas pegawai tadbir.

"Sejak bersara, kami mempunyai lebih banyak masa lapang yang boleh dimanfaatkan untuk membantu kerajaan dalam pelaksanaan pelbagai program yang telah dirancang.

 "Mungkin mempunyai batas dari segi tenaga, namun kami masih mempunyai idea dan cadangan bernas untuk disumbangkan," katanya.

No comments:

Post a Comment