Sunday, March 30, 2014

Permohonan Memasuki Politeknik, Kolej Komuniti Meningkat Mendadak

Permohonan kemasukan ke Politeknik dan Kolej Komuniti meningkat mendadak berikutan kebolehpasaran dan kualiti program pengajian yang ditawarkan kedua-dua institusi itu yang diyakini mampu menyediakan peluang pekerjaan terbaik buat lepasannya.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata berikutan perubahan persepsi itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini dalam persediaan untuk menambah kursus-kursus teknikal di kedua-dua institusi itu termasuk di Kolej Vokasional.

Menurutnya kerajaan sentiasa menitikberatkan soal kebolehpasaran bakal graduan justeru sekiranya bidang kemahiran dan teknikal diceburi dengan serius pasti akan mendatangkan pulangan yang tinggi.

"Setiap tahun kita dapati wujud peningkatan dalam kemasukan ke pusat kemahiran, misalnya di Kolej Vokasional sahaja tahun ini ada pertambahan lima peratus malah di Kolej Komuniti pula kemasukan pelajarnya sentiasa bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara 'Jom Masuk U' ke-10 2014 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Naib Canselor UMT Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo. Idris berkata selain menambah kursus kemahiran, pihaknya juga merancang membina lebih banyak Politeknik dan Kolej Komuniti selaras usaha kerajaan menyediakan peluang pendidikan yang tertinggi dan terbaik kepada semua golongan masyarakat.

"Kita dalam proses menambah bilangan pusat kemahiran itu berdasarkan keperluan dan lokasi. Kolej Komuniti lebih mudah kerana boleh beroperasi dengan hanya menyewa premis baharu justeru, tahun ini lapan Kolej Komuniti akan dibangunkan antaranya di Sabah, Sarawak termasuk di Besut, Terengganu," katanya.

Ketika ini terdapat 32 Politeknik dan 86 Kolej Komuniti di seluruh negara.

Mengenai karnival berkenaan, Idris berkata karnival itu mampu menjadi pusat sehenti yang membolehkan pengunjung mendapatkan informasi tepat mengenai kerjaya berdasarkan program pengajian yang ditawarkan IPT tempatan.

"Saya amat yakin, gabungan informasi program pengajian di IPT yang ditawarkan dan maklumat prospek kerjaya akan membantu pemohon membuat pilihan yang bijak semasa mengemukakan permohonan," katanya.

UMT merupakan lokasi pertama penganjuran karnival yang berlangsung dua hari bermula hari ini, membabitkan penyertaan 20 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan 80 IPT swasta terpilih.

No comments:

Post a Comment