SEPANG (11 Mac 2014) - Tak pasal-pasal Mario Balotelli, pemain kelab gergasi AC Milan dan negara Itali yang pernah bermain untuk Inter Milan dan Manchester City mendapat nama.
Mungkin kalau dia berada di Malaysia ketika ini, dia akan bertanya lagi “Why always Me?”
Nama itu disebut pada sidang media oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman malam semalam merujuk kepada kewarganegaraan sebenar dua pembawa pasport curi dalam pesawat MH370.
Perkara itu kini menjadi persoalan ekoran dakwaan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa mereka “berciri Asia”.
Azharuddin sebaliknya menolak andaian bahawa kedua-dua individu itu tidak kelihatan seperti orang Asia. “Kamu tahu pemain bola (bernama) Balotelli?"
“Dia orang Itali, tapi kamu tahu wajahnya macam mana,” katanya ketika diasak menggambarkan rupanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang semalam.
Diasak lagi sama ada kedua-dua mereka berkulit hitam, Azharuddin menjawab: “Ya”.
Azharuddin turut menyebut, penyiasat yang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dua individu yang menaiki pesawat MH370 menggunakan pasport palsu, tidak mempunyai ciri-ciri 'wajah Asia'.
Katanya, pihak berkuasa telah mengkaji rakaman CCTV itu dan mengesahkan dua suspek itu bukan orang Asia.
"Siasatan juga menunjukkan dua suspek itu mungkin terlibat dalam sindiket curi pasport. Kami tidak dapat mendedahkan kewarganegaraan mereka kerana ia mungkin mengganggu siasatan," katanya pada sidang media malam semalam.
Azharuddin turut mengumumkan bahawa kawasan misi mencari pesawat MH370 diperluas ke 100 batu nautika dari lokasi terakhir pesawat tersebut dilaporkan hilang.
Bernama melaporkan pada malam Ahad bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Satu siasatan dalaman dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat tersebut
"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya Ahmad Zahid.
Sementara itu turut dilaporkan, urusan perjalanan dua penumpang dengan identiti palsu dalam pesawat MH370 Malaysian Airlines yang hilang ketika menuju ke Beijing dari Kuala Lumpur dibuat di Pattaya, Thailand dan dibayar secara tunai, menurut akhbar British, Financial Times.
Akhbar berkenaan memetik kenyataan agen pelancongan Thailand yang membuat tempahan tiket itu sebagai berkata, beliau diminta membuat urusan perjalanan itu oleh seorang kenalan warganegara Iran.
Benjaporn Krutnait, pemilik agensi pelancongan Grand Horizon di Pattaya dipetik berkata, warganegara Iran berkenaan iaitu kenalan perniagaannya yang dikenali sebagai Ali meminta beliau menempah tiket tambang murah ke Eropah untuk dua lelaki berkenaan pada 1 Mac.
Akhbar itu berkata, pada awalnya, Benjaporn menempah tiket penerbangan Qatar Airways dan Etihad, masing-masing untuk dua lelaki berkenaan, tetapi, tiket itu tamat tempoh apabila tiada khabar daripada Ali.
Ali kemudian menghubunginya sekali lagi pada Khamis menyebabkan Benjaporn sekali lagi menempah tiket dan kali ini menempah Malaysian Airlines menerusi Beijing kerana ia adalah tiket paling murah yang ada pada ketika itu.
Financial Times turut melaporkan, seorang rakan Ali membayar Benjaporn secara tunai untuk dua tiket berkenaan dan tiada bukti mengaitkan Ali tahu kedua-dua lelaki itu mengembara menggunakan pasport curi.
Benjaporn dipetik sebagai berkata, beliau tidak percaya Ali mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan kerana dia tidak meminta secara terperinci untuk menempah tiket bagi perjalanan Kuala Lumpur – Beijing, tetapi meminta laluan paling murah ke Eropah, kata Financial Times.
Dalam laporan akhbar itu, Benjaporn dipetik sebagai berkata, beliau bercakap mengenai kes itu kerana bimbang dengan spekulasi mengenai serangan pengganas dikaitkan dengan kehilangan MH370 dan mahu fakta sebenar diketahui.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali semalam, bertemu dengan keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang kini ditempatkan di The Everly Hotel di Putrajaya.
ertemuan kira-kira sejam itu turut disertai Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan isteri Datin Seri Norzieta Zakaria.
Ketika ditemui pemberita, Dr Mahathir berkata beliau berharap tiada yang menunding jari kepada pihak yang sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
"Perkara itu tidak akan menyelesaikan masalah," kata beliau dan enggan mengulas lanjut.
No comments:
Post a Comment