Tuesday, March 11, 2014

Jabatan Perikanan T'ganu, Persatuan Nelayan Besut Sedia Bantu Pihak Berkuasa Salur Maklumat


Jabatan Perikanan Terengganu meminta para nelayan di negeri ini agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa seandainya mempunyai sebarang maklumat atau petunjuk bagi membantu pihak berkuasa mengesan pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 yang hilang Sabtu lalu.

Pengarahnya Abdul Khalil Abdul Karim berkata pihaknya menyarankan mana-mana nelayan yang turun ke laut supaya membantu pihak berkuasa menyampaikan maklumat jika menjumpai sesuatu yang mencurigakan semasa berada di laut.

"Saya harap nelayan yang keluar untuk menangkap ikan jika terjumpa sesuatu yang mencurigakan agar segera melaporkan perkara itu kepada kami dan kita akan panjangkan kepada pihak berkuasa.


"Bagaimanapun sehingga hari ini kami belum menerima sebarang aduan mahupun laporan daripada kesemua nelayan di negeri ini," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Sementara itu, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut sedia membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberi segala maklumat berhubung pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pengerusinya, Che Busu Ismail, berkata pihaknya sudah pun menemu bual beberapa nelayan yang dipercayai keluar ke laut pada hari kemalangan itu berlaku bagi memudahkan usaha menjejaki lokasi pesawat terbabit.

"Saya juga berpesan kepada beberapa nelayan yang mempunyai bot jenis C2 untuk terus memaklumkan kepada pihak persatuan sekiranya mereka terlihat tompokan minyak atau serpihan yang dipercayai daripada pesawat tersebut," katanya.

C2 ialah sejenis bot yang digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan dengan kelebihan dari segi kapasiti yang lebih besar untuk pergi jauh dari persisiran pantai sekitar 20-25 batu.

Che Busu berkata operasi mencari pesawat MH370 yang hilang di perairan pantai timur Semenanjung tidak menjejaskan aktiviti nelayan untuk menangkap ikan di laut.

Semalam Ketua Pengarah APMM Datuk Mohd Amdan Kurish sudah mengarahkan para pegawainya untuk menemu bual nelayan yang berpangkalan di Kelantan dan Terengganu bagi meneruskan misi mencari pesawat MH370.

Menurutnya nelayan merupakan satu daripada sumber maklumat APMM bagi mengesan pesawat itu, yang dipercayai hilang di perairan Laut China Selatan.

No comments:

Post a Comment