Wednesday, March 19, 2014

Insiden MH370 Tidak Jejas Industri Pelancongan Terengganu


Isu kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik MAS pada 8 Mac lalu, tidak memberikan kesan kepada industri pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato' Mohd Jidin Shafee berkata, insiden kehilangan pesawat melibatkan penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, setakat ini tidak mendatangkan kesan kepada pengusaha pelancongan mahupun kedatangan pelancong ke Terengganu.

“Isu MH370 tidak memberi sebarang masalah kepada industri pelancongan bahkan dari segi jumlah kedatangan pelancong juga tidak berlaku pengurangan dan jadual penerbangan di negeri ini juga berjalan seperti biasa.

“Walaupun misteri kehilangan pesawat sehingga kini masih belum terjawab, tetapi saya yakin kedatangan pelancong ke negara kita khususnya ke Terengganu akan terus berjalan dengan baik,” ujarnya.





Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas adakah isu MH370 memberi kesan kepada industri pelancongan Terengganu, selepas merasmikan Pameran Demi Masa anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) di Bukit Losong, kelmarin. Turut hadir, Pengarahnya, Mohd Yusof Abdullah.

Pada 8 Mac lalu, penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

LMNT menganjurkan pameran berinfomatif itu di Dewan Madalika LMNT, Bukit Losong bermula kelmarin sehingga 15 Jun antaranya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pengurusan masa, khususnya kepada generasi muda betapa masa yang diperuntukkan kepada kita semua adalah singkat dan perlu jitukan matlamat dalam kehidupan.

“Selain itu, pameran selama tiga bulan ini turut mendedahkan pengunjung mengenai kesungguhan masyarakat terdahulu menghargai masa dan bagaimana kreativiti mereka dalam merekacipta alatan mengukur masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pameran Demi Masa yang disempurnakan oleh Mohd Jidin kelmarin.

Mohd Yusof berkata, sempena pameran ini juga pelbagai koleksi dari dalam dan luar negara dipamerkan bagi memberi pemahaman evolusi pengukuran masa yang berlaku terutamanya untuk tatapan pelajar sekolah.

“Malah, sejajar dengan sasaran utama pengujung pameran tersebut iaitu pelajar sekolah, LMNT akan mengadakan program Warna-Warni Cuti Sekolah di perkarangan muzium bermula 21 Mac ini.

“Pelbagai aktiviti menarik yang fokus kepada pendidikan seperti demostrasi masakan, permainan dan persembahan kebudayaan boleh dipelajari.

Tambah Mohd Yusof, selain mendedahkan anak-anak dengan pelbagai informasi menarik berkaitan masa melalui pameran yang dijalankan, ibu bapa secara tidak langsung dapat menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti berfaedah apabila membawa mereka berkunjung ke muzium.

No comments:

Post a Comment