Friday, March 28, 2014
KBS Akan Bina Sebuah Velodrom RM6 Juta Di Terengganu
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan akan membina sebuah velodrom di Terengganu sebagai menghargai komitmen besar negeri ini dalam bidang pembangunan sukan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata KBS tidak boleh menolak dan menafikan sumbangan kerajaan Terengganu untuk membangunkan sukan, seperti dalam Sukan Malaysia (Sukma) umpamanya, negeri ini sentiasa mendapat kedudukan yang cemerlang.
"Baru-baru ini, saya dapat sokongan yang begitu padu dari Terengganu bagi penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) yang merupakan perlumbaan basikal paling berprestij di Asia Tenggara.
"Atas segala sumbangan negeri ini dan perancangan yang terdahulunya saya difahamkan tidak dapat disempurnakan, maka saya telah maklumkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) bahawa KBS akan meneruskan projek untuk membina sebuah velodrom di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri perjumpaan minum petang dan makan 'ikan celup tepung' di Mengabang Telipot, Batu Rakit dekat Kuala Terengganu.
Turut hadir Ketua Pergerakan Pemuda Umno Terengganu Johari Abu Bakar.
Khairy berkata projek pembinaan velodrom yang dianggarkan bernilai RM6 juta itu, dan yang pertama di Pantai Timur, dijangka akan dibangunkan dalam tempoh dua tahun bermula tahun depan.
Menurutnya, KBS akan mengikut apa yang kerajaan negeri tetapkan kerana beliau difahamkan oleh menteri besar bahawa tapak velodrom itu telah ada dan ia terletak di Dungun.
Justeru katanya, dengan siapnya pembinaan velodrom berkenaan kelak, para pelumba dari negeri lain juga dapat memanfaatkan peluang berlatih di sini kerana Terengganu bukan sahaja hebat dalam berbasikal acara trek, tetapi juga dalam acara lebuh raya yang banyak menyumbang rekod cemerlang.
"Jadi tidak salahlah kalau kita anggap Terengganu sebagai antara pusat kecemerlangan latihan bagi acara sukan berbasikal di negara ini," katanya.
No comments:
Post a Comment