Friday, March 28, 2014
Petronas Harap Medan Gas Marginal Akan Hasilkan Antara 30,000-50,000 Tong
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berharap medan gas marginalnya akan menghasilkan antara 30,000 hingga 50,000 tong sehari untuk tiga tahun akan datang.
Ia bersamaan dengan medan marginal kontrak servis risiko semasa (RSC) kumpulan berkenaan.
Presiden Petronas Carigali, cabang eksplorasi dan pengeluaran Petronas, Datuk Anuar Taib, berkata sasaran pengeluaran mungkin ditingkatkan kepada antara 100,000 hingga 200,000 tong sehari, berikutan hasil yang baik di kelompok Kapal, Banang dan Meranti (KBM), di samping Berantai dan Balai.
Program perlesenan RSC pertama dilancarkan pada 2011 melibatkan penyerahan kelompok Berantai di luar pantai Terengganu kepada SapuraKencana Petroleum Bhd serta syarikat berpangkalan di United kingdom, Petrofac Limited (gambar atas).
Dalam pusingan kedua pada 2012 menyaksikan Dialog Group Bhd dan Roc Oil Co Ltd memperolehi kelompok Balai di luar pantai Sarawak, manakala pembangunan kelompok KBM di luar pantai Semenanjung diberikan kepada Petra Energy Bhd? dan Coastal Energy Co.
"Jika anda lihat kepada sifat medan marginal, pengeluaran gas selalunya kecil," katanya di taklimat media sempena Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2014 (OTC Asia 2014) di Kuala Lumpur, semalam.
Setakat ini, Petronas telah menyerahkan empat lesen RSC kepada empat konsortium, termasuk satu kepada VESTIGO Petroleum Sdn Bhd, anak syarikat Petronas Carigali, yang juga cabang pengeluaran syarikat minyak negara.
VESTIGO kini membangunkan medan Tembikai dan Chenang di Terengganu. Ia ditubuhkan Petronas pada Julai tahun lalu bagi menjalankan aktiviti pembangunan dan pengeluaran dari medan kecil, marginal dan matang di Malaysia dan luar negara.
Anuar berkata, ketika ini Petronas telah mengenal pasti 100 medan marginal untuk diberikan lesen RSC dan masih meneliti bidaan daripada pihak berminat dari dalam dan juga luar negara.
"Banyak pihak telah datang dan mengkaji medan terbabit dan rundingan masih diteruskan," katanya.
Menurutnya, Petronas Carigali juga mempunyai beberapa medan marginalnya sendiri yang perlu dibangunkan dan VESTIGO akan menjadi jentera untuk melaksanakannya.
"Kami mahu VESTIGO menjadi pengendali khusus bagi membangunkan medan marginal dan matang milik kami," katanya.
No comments:
Post a Comment