Wednesday, March 5, 2014

Kebakaran Hutan, Cuaca Panas, Kering Punca Jerebu - Palanivel


Keadaan jerebu yang melanda negara sekarang berpunca daripada kebakaran hutan di Selangor, Perak, Pahang, Johor dan Terengganu, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel.

Beliau berkata cuaca panas dan kering menyebabkan partikel habuk terampai dan berkumpul di udara menyebabkan jerebu selain pelepasan industri, kenderaan bermotor dan kerja tanah.

Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memantau status kualiti udara secara rapi melalui 52 stesen pengawasan kualiti udara yang ditempatkan di seluruh negara, katanya dalam kenyataan di ibu negara, semalam.

"JAS mengaktifkan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Operasi Tetap Program Pencegahan Kebakaran di Tanah Gambut Mudah Terbakar.

 "JAS juga meningkatkan aktiviti rondaan darat bagi tujuan pemantauan ke kawasan yang dikenal pasti mudah terbakar selain mengambil tindakan mahkamah bagi kes-kes pembakaran terbuka," katanya.

Orang ramai diminta melaporkan kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dengan menghubungi 999 atau JAS di 1-800-88-2727.

No comments:

Post a Comment