Kejohanan Le Tour de Langkawi 2014 menyaksikan pemenang peringkat yang berbeza setiap hari termasuk semalam apabila pelumba Belanda, Kenny Van Hummel yang mewakili Androni Giocatolli-Venezuela menjuarai Peringkat Enam di Pontian.
Pelumba berusia 31 tahun itu meraih kemenangan pertama buat pasukannya tahun ini selepas mengalahkan pelumba pilihan lain seperti rakan senegara Theo Bos daripada Belkin-Pro Cycling Team dan pelumba Itali, Andrea Guardini daripada Astana Pro Cycling. Van Hummel menamatkan kayuhan peringkat itu sejauh 199.1 kilometer dalam masa 4 jam, 29 minit dan 46 saat.
Pelumba Lithuania, Aidis Kruopis daripada pasukan Orica Greenedge di tempat kedua manakala pelumba Amerika Syarikat Ken Hanson daripada UnitedHealthcare menduduki tempat ketiga. Mereka mencatat masa yang sama dengan Van Hummel.
"Ia adalah pecutan yang panjang dan bersih dengan pelumba pecut lain serta menyebabkan keadaan sedikit kelam-kabut kerana angin kuat. Saya memilih berada di bahagian kanan jalan kerana bimbang dihimpit masuk ke kiri.
"Selepas melihat pelumba UnitedHealthcare mula memecut menuju ke akhir kira-kira 300 meter, saya berusaha memecut untuk melepasinya dan terus mendapatkan kemenangan," katanya dalam sidang akhbar di Pontian.
Pelumba Iran, Mirsamad Pourseyedigolakhour daripada Tabriz Petrochemical Team mengekalkan Jersi Kuning dengan menguasai pendahulu keseluruhan setelah berada dalam kelompok utama.
Porseyedigolakhour juga mengekalkan Jersi Putih sebagai pelumba terbaik Asia dengan mengumpulkan masa 19'43:50s.
Pasukannya pula mengekalkan kedudukan sebagai pasukan Asia terbaik dengan 59'15:55s.
Pasukan Pro Continental Cycling dari Afrika Selatan, MTN Qhubeka menguasai pelumba pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 59'14:17s.
Pelumba Ireland, Matt Brammeier daripada Synergy Baku Cycling Project pula mengekalkan Jersi Merah selepas meraih gelaran Raja Bukit dengan 34 mata, manakala pelumba Belanda Thomas Rabou daripada OCBC Singapore memenangi Jersi Biru dengan 48 mata.
Bradley White mengangkat tangan selepas memperoleh kejuaraan peringkat kelima Le Tour De Langkawi 2014 dari Karak ke Rembau, kelmarin. |
White yang berasal dari Michigan, Amerika Syarikat bertindak berani dengan melakukan pemecahan pada perlumbaan peringkat ketiga (Sabtu) dan keempat (kelmarin) namun tuah menyebelahinya apabila tiba dahulu di garisan penamat dengan mengetepikan pelumba OCBC Singapore, Thomas Robou di tempat kedua dan Louis Meintjes (MTN-Qhubeka) ketiga.
Menurut White, dia sentiasa gembira jika memenangi sebarang perlumbaan tidak kira kejohanan tersebut besar atau kecil, malah peranannya sebelum ini adalah membantu pelumba pecut dan dia tidak selalu mendapat peluang untuk menjuarai perlumbaan.
Sementara itu, pelumba Tabriz Petrochemical Team, Mirsamad Pourseyedigolakhour terus mengekalkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan apabila mencatat masa 5 jam 14 minit dan empat saat, lapan saat dihadapan pelumba MTN-Qhubeka, Merhawi Kudus.
Rakan sepasukan White, Isaac Bolivar (15:14.15s) mengekori di tempat ketiga. Mirsamad yang turut mempertahankan jersi putih (terbaik Asia keseluruhan) berkata, dia amat penat dalam perlumbaan semalam namun tetap bekerja keras untuk mempertahankan jersi kuning dan hari ini dia akan cuba melakukan perkara yang sama.
Raja Bukit (jersi merah) masih kekal milik pelumba Synergy Baku Cycling Project, Matt Brammeier apabila unggul dengan pungutan 32 mata, hanya dibezakan satu mata dengan Bolivar manakala Mirsamad mengumpul 25 mata.
Bagaimanapun, Brammeier kehilangan jersi biru (Raja Pecut) yang berjaya dirampas Robou, walaupun mereka terikat dengan 40 mata namun dari segi masa keseluruhan perlumbaan jelas tidak menyebelahi pelumba Ireland itu.
No comments:
Post a Comment