Monday, March 24, 2014

Ketengah Properties Yakin Siapkan Projek Perumahan Pada Suku Kedua 2016

Ketengah Properties Bhd, unit di bawah Ketengah Holding Sdn Bhd, yakin dapat menyiapkan 500 unit projek perumahannya di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan Bukit Besi pada suku kedua 2016. 

Ketengah Holding merupakan anak syarikat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud (gambar kanan), berkata projek perumahan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM50 juta itu menawarkan dua jenis rumah iaitu rumah mampu milik dan sederhana.

"Di Wilayah Ketengah ada beberapa institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara Kampus Bukit Besi, Kolej Ketengah dan Pusat Giat Mara Ketengah di mana kita melihat pembangunan sudah ada di sana. 

"Dengan wujudnya institusi pendidikan ini akan ada satu permintaan yang tinggi terhadap projek perumahan di mana terdapat golongan professional dan pelajar untuk mendiami di kawasan sekitar," katanya.

Menurutnya penduduk sekitar di Wilayah Ketengah akan diberi keutamaan terlebih dahulu untuk membeli unit rumah tersebut apabila projek tersebut disiapkan selari dengan fungsi Ketengah untuk memaju, menggalak, merancang dan mengusahakan pembangunan tempat tinggal, pertanian, perindustrian dan perdagangan dalam kawasan Terengganu Tengah.

Beliau turut menjelaskan bahawa Ketengah Properties akan mempelawa syarikat pembinaan dari luar untuk membantunya dalam membangunkan projek perumahan tersebut sekiranya mereka ada mempunyai masalah.
"Jika kami tidak mampu, mereka (syarikat kontraktor) akan dipelawa untuk membantu kami bagi memastikan projek perumahan tersebut siap dalam tempoh yang telah kami sasarkan," katanya.

Menyentuh mengenai keuntungan yang dicatatkan oleh Ketengah Holding pada tahun lepas, Wan Mat Amin berkata syarikat tersebut menunjukkan prestasi yang sangat baik, disumbang terutamanya daripada syarikat perladangan dan pengilangan di bawah Ketengah Holding.

"Kami tidak akan menumpukan kepada aktiviti perladangan dan pengilangan semata-mata tetapi kami juga akan mempelbagaikan aktiviti perniagaan seperti projek perumahan ini bagi memastikan prestasi syarikat akan terus berkembang," katanya.

Antara anak syarikat di bawah Ketengah Holding ialah Ketengah Perwira, Yit-Ketengah Perwira, Ketengah Jaya, Kebunika, Ladang Ternak Tani dan Rakyat Ketengah Perwira.

No comments:

Post a Comment