Thursday, March 13, 2014

KWLTB Sedia Bot Untuk Disewakan Kepada Pelancong Candat Sotong

Koperasi Wawasan Losong Terengganu Berhad (KWLTB) menyediakan kira-kira 15 bot nelayan untuk disewakan kepada pelancong-pelancong yang hendak mencuba pengalaman mencandat sotong.

Pengerusinya Hasan Ismail berkata kadar sewaan bot tersebut adalah antara RM700 hingga RM750 bagi satu malam. "Ini adalah salah satu usaha KWLTB membantu kerajaan negeri untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014," katanyakelmarin.

Menurut Hasan musim mencandat sotong bermula dari bulan Mac hingga Jun setiap tahun di negeri Terengganu.

Beliau berkata di samping itu, KWLTB juga menyediakan rumah kediaman di sekitar Kampung Losong untuk disewa oleh pelancong-pelancong dalam musim mencandat sotong ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kedai KWLTB yang terletak di Kampung Losong Atap Zin, di pinggar sungai Terengganu telah mula menjalankan aktivitinya awal bulan lepas.

Aktiviti termasuk menjual barangan alat memancing dan mencandat, barang kraf, dan keropok kering.

Katanya KWLTB juga merancang mengadakan kedai jualan makanan laut untuk pelancong yang datang melawat Tamah Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man. Beliau berkata pelancong-pelancong akan dapat menikmati ikan segar yang baru dibawa naik dari laut.

No comments:

Post a Comment