Thursday, March 13, 2014

Azizulhasni Mungkin Jadi 'Kambing Hitam' Untuk Tutup Kelemahan Tertentu - Zolkples


Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata jaguh pecut negara Azizulhasni Awang mungkin menjadi 'kambing hitam' bagi menutup kelemahan mutu pengadilan pihak tertentu.

Beliau berkata pembatalan penyertaan Azizulhasni dalam siri Piala Dunia mencetuskan persoalan terhadap mutu pengadilan apabila rakaman video jelas membuktikan beliau tidak bersalah dalam Kejohanan Berbasikal Dunia di Cali, Colombia, bulan lepas.

"Ini bukan pertama kali berlaku. Azizulhasni pernah dibatalkan kemenangan di Sukan Komanwel di New Delhi, India, empat tahun lalu.

Namun kita bernasib baik tidak terlepas pingat emas kerana Josiah Ng berada di tempat kedua, dan pingat emas kekal milik Malaysia.

"Saya sarankan seperti sukan tenis dan badminton, berikan ruang kepada pasukan yang protes untuk tengok tayangan video kembali untuk menentukan kesalahan itu betul-betul berlaku atau tidak," katanya kepada pemberita selepas majlis menerima tajaan basikal daripada Ridley Bicycles Company/Action Bods Singapore di MSN di Bukit Jalil semalam.

Ridley Bicycles Company/Action Bods menyumbangkan sebanyak 80 basikal kepada skuad berbasikal kebangsaan untuk kegunaan latihan dan pertandingan.

Dalam pada itu, Zolkples berkata tahun ini adalah tahun penting bagi sukan berbasikal terutama dalam menghadapi temasya Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

"Kita bukan sekadar untuk mengambil bahagian tapi menjadi penyumbang pingat emas dan ini dibuktikan empat tahun lalu apabila Josiah memenangi acara keirin di Sukan Komanwel di New Delhi dan Azizulhasni menang acara yang sama di Guangzhou, China.

"Kita juga dimaklumkan bahawa Josiah telah kembali menjalani latihan serta prestasi Fatehah Mustafa yang semakin meningkat memberi harapan bukan setakat pingat pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel tetapi juga harapan pingat pertama pada temasya Olimpik," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih John Beasley berkata sudah tiba masa untuk memberi tumpuan kepada persediaan pasukan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia daripada membincangkan isu pengadilan pada Kejohanan Dunia.

"Kami mensasarkan sekurang-kurangnya sebutir emas dalam Sukan Asia dan kami gembira dengan tahap persediaan," katanya.

No comments:

Post a Comment