Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan mewujudkan pusat hemodialisis di Jertih, Besut tahun ini bagi membantu pesakit buah pinggang khususnya golongan berpendapatan rendah.
Pesuruhjaya Maidam Datuk Rozali Salleh berkata Maidam memperuntukkan hampir RM1 juta bagi pembinaan pusat hemodialisis itu yang dijangka beroperasi hujung tahun ini.
"Pusat tersebut akan ditempatkan di satu bangunan di kawasan masjid Balik Bukit di Jertih di mana pengurusan dan kakitangan Hospital Besut akan menguruskan sepenuhnya pusat tersebut nanti," katanya kelmarin.
Katanya pusat hemodialisis itu yang kedua diwujudkan Maidam dengan yang pertama di Kampung Pak Sabah di Dungun dua tahun lepas yang diusahakan dengan kerjasama Persatuan Pesakit Buah Pinggang Negeri Terengganu.
Katanya pusat di Dungun mampu memberi rawatan kepada 60 pesakit dalam satu-satu masa manakala pusat di Jertih dijangka dapat memberikan rawatan kepada kira-kira 90 pesakit.
Beliau berkata dalam usaha membantu pesakit buah pinggang, Maidam menyediakan peruntukan RM5 juta bagi tahun ini yang dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100 pesakit.
No comments:
Post a Comment