Thursday, March 27, 2014

Malindo Air: Ada Bunyi Letupan Sebelum Enjin Terbakar - Saksi



Seorang penumpang pesawat Malindo Air yang sebuah enjinnya terbakar ketika dalam penerbangan dari Subang ke Kuala Terengganu, semalam, berkata beliau terdengar bunyi letupan sebelum melihat api di bahagian itu.

"Saya hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk menimpa kami," kata Mohd Faiz Subri, pemain tengah pasukan bola sepak Terengganu, iaitu antara 53 penumpang penerbangan itu.

Beliau yang ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, berkata kejadian berlaku ketika pesawat baru sahaja berlepas dari Lapangan Terbang Subang.

"Kesemua penumpang agak panik namun sikap profesional kru serta juruterbang berjaya mengawal keadaan," katanya.

Malindo Air dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur mengesahkan kejadian dan memberitahu pesawat itu berpatah balik ke Lapangan Terbang Subang serta mendarat dengan selamat. Tiada kecederaan dilaporkan.

Penerbangan Malindo Air ke Kuala Terengganu itu terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Subang semalam  selepas sebuah daripada enjinnya terbakar.

Pesawat tersebut berlepas pada 7.30 pagi sebelum insiden berlaku ketika pesawat berada di ketinggian 7,000 kaki.

Menurut kenyataan itu, sistem pengesan kebakaran pesawat diaktifkan dan anak kapal melaksanakan langkah mengikut prosedur operasi standard bagi mengawal keadaan.

"Juruterbang memutuskan berpatah balik ke Subang dan pesawat mendarat dengan selamat tanpa insiden lain dan tiada kecederaan dilaporkan. Semua penumpang kemudian dibawa menaiki penerbangan lain ke Terengganu," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut punca kejadian dalam siasatan dan semua pihak berkaitan sudah dimaklumkan.

Difahamkan antara penumpang pesawat itu ialah pemain pasukan bola sepak Terengganu yang dalam perjalanan pulang selepas perlawanan menentang pasukan ATM di Stadium Selayang malam kelmarin.Terengganu menang 3-0.

Menurut kenyataan yang dipapar oleh laman sesawang Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, pasukan itu menaiki penerbangan ganti ke Kuala Terengganu pada 10 pagi semalam.

Menurut pemain pertahanan pasukan, Mohd Zubir Azmi pula, selepas selamat mendarat mereka pada mulanya mahu pulang ke Terengganu dengan menaiki bas kerana takut dengan kejadian yang dilalui.

"Akan tetapi pihak syarikat penerbangan memberi kami penerbangan ganti yang berlepas 11.15 pagi tadi," katanya.

Sementara itu seorang penumpang warga asing, Dietmar Gierlich, 31, memuji sikap anak kapal yang begitu profesional dalam menangani krisis tersebut.

"Mereka juga bertindak pantas. Penumpang lain juga memberi kerjasama yang baik menyebabkan semuanya berjalan lancar," katanya yang ke sini atas urusan kerja.

Beliau juga menegaskan insiden itu tidak akan menghalangnya menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan pada masa hadapan

 "Situasi itu boleh berlaku kepada sesiapa atau mana-mana kapal terbang di dunia ini," katanya.

No comments:

Post a Comment