Thursday, March 27, 2014

Puspakom Perluas Khidmat Pemeriksaan Bergerak Primer, Termasuk Ke Terengganu

Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan memperluas Perkhidmatan Pemeriksaan Bergerak Primer (PMI) di Kedah, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan mulai 1 April ini.

Ia  bagi memudahkan pelanggannya mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail berkata perkhidmatan itu bertujuan menjimatkan masa serta memudahkan pemilik kenderaan berurusan bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan tanpa perlu mengunjungi cawangan Puspakom.

"Ramai pemilik kenderaan tidak dapat meluangkan masa untuk datang melakukan pemeriksaan kenderaan di cawangan kami, dengan PMI kami akan bergerak ke lokasi mereka.

"Pelanggan hanya perlu menghubungi talian bebas tol PMI Puspakom di 1800-222-210 untuk membuat temu janji," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Beliau pemeriksaan akan mengambil masa 30 minit dan bayaran adalah berdasarkan jenis pemeriksaan bermula dari RM20 hingga RM50 selain caj perkhidmatan berpatutan iaitu RM100 bagi kereta dan RM50 bagi motosikal.

Mohammed Shukor berkata langkah itu merupakan inisiatif Puspakom dalam mempertingkat mutu perkhidmatan demi keselesaan pelanggan.

Perkhidmatan PMI merupakan inisiatif Puspakom di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 seperti pemeriksaan khas yang merangkumi kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan melebihi setahun dan kenderaan import yang baharu atau terpakai.

No comments:

Post a Comment