Pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 10 Tok Bali di Pasir Puteh menjadi tumpan media tempatan apabila ia dijadikan satu daripada pusat mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang Sabtu lepas.
Petugas media mula berkumpul di situ sejak 10 pagi untuk mendapatkan laporan terkini perkembangan operasi SAR.
Beberapa aset milik APMM bersiap sedia untuk digerakkan dalam operasi SAR dan pada pukul 1.30 tengah hari kelihatan sebuah kapal peronda milik APMM bergerak ke arah Laut China Selatan dipercayai untuk operasi SAR.
Semalam APMM menemui tompokan minyak di kawasan Laut China Selatan, 100 batu nautika dari pantai Tok Bali dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata sampel minyak itu diambil oleh Kapal KD Amanah pada 11 pagi semalam.
Sampel minyak itu dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya kerana di Kelantan dan Terengganu tidak mempunyai kemudahan untuk menganalisis minyak berkenaan.
Mohd Amdan berkata tompokan minyak sepanjang dua kilometer itu kelihatan berlainan kerana warnanya kekuningan berbanding tompokan tumpahan minyak kapal dagang yang biasa ditemui di mana-mana perairan.
Dalam tinjauan udara yang dilakukannya petang semalam di kawasan 70 hingga 100 batu nautika dari pantai di perairan Terengganu, Kelantan dan sempadan Thailand dan Vietnam, tidak menemui apa-apa petunjuk berkaitan pesawat MH370 yang hilang itu.
No comments:
Post a Comment