Saturday, March 29, 2014

Modul BI di semua tadika YIT

Modul pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) bagi peringkat prasekolah dijangka diperkenalkan di Terengganu pertengahan tahun ini melibatkan kerjasama antara Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, sebagai permulaan, semua tadika di bawah YIT akan dijadikan perintis menggunakan modul itu.

Menurutnya, YIT kini sedang dalam rangka menyiapkan modul itu sebagai persediaan awal kepada anak negeri ini bagi menghadapi pembelajaran BI di peringkat sekolah rendah, menengah hingga ke institusi pengajian tinggi.

“Jawatankuasa sudah pun dibentuk dan mereka kini sedang merangka modul yang sesuai bagi pembelajaran BI di peringkat prasekolah dalam pengajaran Matematik melalui bentuk permainan, nyanyian dan sebagainya untuk menarik minat pelajar.

"Kita mahu membimbing dan memperkasakan anak-anak di negeri ini dengan BI daripada peringkat awal.

Walaupun program Tranglish belum dilancarkan secara rasmi, tetapi gerak kerja di sekolah sudah bermula dan peringkat prasekolah juga sudah memulakan langkah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembahagian BR1M 3.0 melibatkan kira-kira 800 penerima bagi kawasan Dun Ajil di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang, kelmarin.

Ghazali yang juga Adun Ajil berkata, selain memperkasakan al-Quran di peringkat prasekolah, kerajaan negeri turut melakukan usaha sama dalam pembelajaran BI bagi memastikan pelajar di negeri ini mampu menguasai bahasa antarabangsa itu.

“Kita yakin dan percaya secara asasnya, jika di peringkat prasekolah anak-anak diajar dengan baik, kelak akan mudahkan guru di peringkat sekolah rendah dan menengah. Kita tidak dapat lari hakikat kepentingan BI,” katanya.

No comments:

Post a Comment