Saturday, March 29, 2014
Pencuri Wang Tabung Masjid Terima Balasan
Mohd Kasyful Azim dipenjara 24 bulan selepas mengaku salah mencuri wang tabung Masjid Kampung Kubang Ikan, Chendering.
Pencuri wang tabung Masjid Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini, yang ditangkap penduduk Rabu lalu, menerima balasan apabila dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh mahkamah majistret,kelmarin.
Keputusan dibuat selepas Mohd Kasyful Azim Harun, 31, mengaku salah mencuri RM61 di dalam tabung masjid itu pada 19 Mac lalu, kira-kira jam 3.50 petang.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, imam masjid berkenaan, Alias Ngah, 61, bersama beberapa penduduk yang berada di dalam masjid, ternampak Mohd Kasyful Azim sedang mengambil duit daripada tabung.
Mereka cuba mendekati Mohd Kasyful Azim, namun dia cuba melarikan diri dengan keluar melalui pintu menuju ke arah motosikal diletakkan di tepi masjid.
Namun cubaannya gagal selepas ditangkap penduduk yang mengepung kawasan masjid dan hasil pemeriksaan pada tubuhnya, mereka menjumpai RM61 disorokkan di dalam poket seluar.
Sinar Harian 22 Mac lalu melaporkan, seorang mat gian sanggup berpura-pura hendak mendirikan solat bagi mengaburi mata orang ramai sebelum mencuri wang tabung masjid, namun lakonannya tidak menjadi apabila dicekup beberapa penduduk ketika sedang asyik mengambil wang berkenaan.
No comments:
Post a Comment