Monday, March 31, 2014

Peyatim Sasar Jualan RM350 Juta Bagi Pendidikan UCB Dalam Tempoh 10 Tahun

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) menyasarkan jualan berjumlah RM350 juta daripada Skim Tanah Waqaf Pendidikan Anak Yatim dan Miskin bagi dana pendidikan Kolej Universiti Bestari (UCB), Setiu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Presidennya, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor berkata bagi mencapai sasaran itu, tanah seluas 129.5 hektar di kampus UCB mula dijual dan diwakafkan dengan kadar RM30 bagi 0.1 meter persegi sejak April tahun lalu.

"Sehingga kini, kita telahpun mendapat lebih kurang RM6 juta daripada derma waqaf berkenaan dan kita jangkakan dalam masa 10 tahun akan datang, kita akan dapat RM350 juta daripada keseluruhan tanah yang dijual dan diwakafkan ini.

"Mungkin daripada dana itu kita akan beli ladang sawit untuk diusahakan bagi menjana kewangan UCB... kita akan lakukan apa sahaja yang boleh menjana kewangan ... kerana ini merupakan salah satu usaha untuk menjadikan UCB sebagai universiti wakaf pertama," katanya kepada pemberita di semalam.

Tengku Mahmud, yang juga Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah UCB, berkata dana hasil jualan wakaf itu digunakan untuk pendidikan pelajar yang berasal dari keluarga miskin serta anak yatim.

"Melalui konsep waqaf ini juga, kita menyasarkan perolehan sebanyak RM10 juta setahun di atas tanah kampus utama institusi yang terletak di Mukim Tasik, Setiu.

"Sehingga kini, kira-kira RM500 hingga RM600 ribu diterima pada setiap bulan hasil penjualan waqaf yang diuruskan Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia," katanya.

Beliau berkata sambutan orang ramai terhadap penjualan tanah berkenaan bagi penubuhan sebuah universiti wakaf pertama di Malaysia cukup menggalakkan.

"Ejen penjualan waqaf UCB ini telah dipertanggungjawabkan kepada 700 cawangan Pejabat Pos dan 1,200 cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negeri.

"Pada tahun ini juga, kita turut memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang kurang berkemampuan bagi melanjutkan pelajaran di peringkat asasi dan peruntukan itu juga merupakan hasil daripada dana yang telah kita dapat daripada penjualan tanah wakaf," katanya.

No comments:

Post a Comment