Thursday, March 13, 2014

Polis Terengganu Beri Amaran Kepada Penyokong Terengganu, JDT



Polis Terengganu memberi amaran kepada penyokong agar tidak menimbulkan provokasi melampau sepanjang perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu,  Sabtu ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustapa berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mencetuskan kekecohan pada perlawanan tersebut.

"Saya juga mengingatkan penyokong agar tidak membawa barang larangan seperti mercun, suar, senjata tajam ke dalam stadium.

"Kami akan melakukan pemeriksaan rapi pada badan dan beg setiap penonton di pintu masuk stadium," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Bagi memastikan kelancaran perlawanan tersebut, Jamshah berkata sebanyak 250 anggota polis daripada pelbagai cawangan akan ditempatkan di luar dan dalam stadium bagi mengawal keselamatan penyokong.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menafikan sudah mula menjual tiket perlawanan Liga Super antara Terengganu dan Johor Darul Takzim pada Sabtu ini.

Pegawai Perhubungan Awam PBSNT Haslan Hashim berkata seperti biasa tiket hanya dijual sehari sebelum perlawanan dan bagi perlawanan itu persatuan akan membuka kaunter tiket di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, esok.

"PBSNT tidak bertanggungjawab atas tiket-tiket yang dikatakan sudah mula dijual itu," katanya pada Selasa.

Katanya tiket akan mula dijual dari pukul 10 pagi pada hari berkenaan. Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa tiket perlawanan yang dijadualkan di sini itu sudah mula dijual.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan penyokong pasukan Terengganu agar menjaga kelakuan ketika perlawanan termasuk tidak membakar suar.

"Kita juga harap perlawanan ini berjalan dengan baik dan penuh dengan semangat kesukanan," katanya.

Menurut Haslan kawalan keselamatan juga dipertingkatkan dengan kerjasama pihak polis.

No comments:

Post a Comment