Thursday, March 13, 2014

PRK Kajang: BN Bertanding Untuk Bantu Rakyat - Muhyiddin

Calon BN bagi PRK DUN Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun (kiri) mengedarkan manifesto kepada peniaga kuih, Rafiah Taib (kanan) ketika membuat tinjauan mesra di sekitar Kajang.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau yakin pengundi di Kajang tahu tujuan Barisan Nasional (BN) bertanding pada pilihan raya kecil itu adalah untuk membantu rakyat, walaupun tanpa manifesto khusus untuk menyatakan janji itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat tidak perlu bimbang untuk memilih calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun pada 23 Mac ini kerana kemenangan beliau akan menjadi penghubung antara penduduk di Kajang dengan kerajaan persekutuan.


"Sama ada (BN) akan lancar manifesto baharu atau guna manifesto lama pada Pilihan Raya Umum lepas, rakyat tidak perlu bimbang untuk memberi sokongan kepada calon BN.

"Namun, kita akan fikirkan juga sama ada nak perkenal (manifesto) atau tidak tetapi saya yakin rakyat tahu tujuan kita bertanding adalah untuk membantu mereka," katanya.

Beliau menyatakannya  kepada pada sidang media selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Mesra, di Kajang, semalam.

PKR semalam  melancarkan manifestonya yang menumpukan kepada empat perkara iaitu menangani kesesakan lalu lintas, membanteras jenayah, pembangunan anak muda dan usahawan kecil.

Turut mengulas perkara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata manifesto PKR yang dilancarkan itu  hanya untuk memperbetulkan masalah dan janji yang gagal ditunaikan pada PRU Ke-13.

"Kita tidak akan ikut rentak mereka, manifesto mereka usaha untuk memperbetulkan masalah," katanya.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan Pakatan yang memerintah di Selangor sejak 2008 masih gagal menyelesaikan kesesakan lalu lintas di negeri ini, tetapi melancarkan manifesto semata-mata untuk menyelesaikan masalah itu.

"Akhirnya mereka insaf bahawa kesesakan lalu lintas di Kajang semakin serius sehingga 'Kajang' menjadi 'car jam'.

Kenapa kerajaan negeri boleh membelanjakan dana rakyat untuk membina jejambat i-City tetapi di sini mereka tidak memberi keutamaan," soalnya.

Tegas Wee pembangkang diharap tidak memutar belit projek pembinaan MRT Sungai Buloh-Kajang dengan mengakui projek berkenaan adalah hasil usaha mereka sedangkan ia merupakan projek yang diperuntukkan kerajaan pusat.

Wee turut menyelar kempen pembangkang yang menggunakan isu kenaikan harga cukai pintu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memburukkan BN tetapi membisu soal kenaikan lesen perniagaan yang dikenakan oleh kerajaan negeri

 Menurut Wee, kadar bayaran lesen perniagaan dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada peniaga serta pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini telah dinaikkan secara mendadak daripada 46 sehingga 500 peratus.

No comments:

Post a Comment