Monday, March 31, 2014

Terengganu Bina Sebuah Lagi Pangsapuri Di Kampung Tanjung Kapur



Kerajaan negeri Terengganu akan membina sebuah lagi pangsapuri di Kampung Tanjung Kapur dekat Ladang di sini bagi penempatan semula penduduk yang terlibat dengan proses pengambilalihan tanah oleh kerajaan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia sebagai tambahan kepada beberapa pangsapuri sedia ada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang iaitu Ladang Tok Pelam dan Ladang Gemilang.

"Setakat ini, kita serahkan kepada arkitek untuk membuat reka bentuk yang sesuai dengan keluasan tanah yang ada... kita harap ia dibina lebih kurang seperti di pangsapuri sedia ada.

"Keutamaan masih diberi kepada penduduk yang terlibat dengan penyusunan semula di dalam DUN Ladang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan kunci kepada 66 penduduk Pangsapuri Ladang Gemilang 2 semalam.



Beliau berkata projek penempatan semula itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib penduduk kerana sedar mereka kurang mampu membina rumah sendiri apatah lagi di kawasan bandar.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata Pangsapuri Ladang Gemilang setinggi 17 tingkat itu menyediakan 192 unit kediaman dan 463 lot parkir dengan harga sebenar jualan sebanyak RM195,396.25.

"Namun kerajaan negeri akan memberikan subsidi kepada penduduk dan ia akan diputuskan dalam mesyuarat Exco tidak lama lagi.

"Kita akan memberi subsidi dengan kadar munasabah agar tidak membebankan penduduk," katanya.

Sebelum ini, penduduk yang berpindah ke Pangsapuri Ladang Gemilang 1 diberi subsidi 50 peratus bagi setiap unit berharga RM150,000 yang melayakkan mereka membeli kediaman berkenaan pada harga RM75,000 sahaja.

No comments:

Post a Comment