Tuesday, March 25, 2014

Terengganu Tubuh Jawatankuasa Kaji Punca Penurunan Calon Lulus SPM

Kerajaan Negeri Terengganu akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menjalankan post mortem mengenai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata jawatankuasa itu juga akan mengkaji punca penurunan bilangan calon yang layak mendapat sijil SPM di negeri ini. 

Jawatankuasa itu juga akan mengkaji sama ada keperluan bagi pelajar sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Sejarah yang menjadi mata pelajaran wajib lulus selain Bahasa Melayu sebagai punca penurunanan itu.

Seramai 18,314 pelajar atau 89.31 peratus calon yang menduduki SPM tahun lepas lulus peperiksaan itu berbanding 19,635 atau 94.03 peratus pada tahun 2012, katanya.

Ghazali berkata kerajaan negeri sentiasa komited bagi memastikan kecemerlangan pendidikan di negeri ini dan program 'Trenglish' yang sedang dirangka turut memberi fokus dan persediaan untuk subjek Bahasa Inggeris yang akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi SPM pada tahun 2016.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembahagian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil semalam.

No comments:

Post a Comment