Sunday, March 2, 2014

TSG Dahului Pasukan Asia, Hariff Pelumba Terbaik Malaysia


Selepas menamatkan saingan peringkat ketiga, pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) kini muncul selaku pendahulu keseluruhan bagi kategori pasukan terbaik Asia selepas mengumpul 27:44:21s dan berada di tempat kesembilan dalam kedudukan keseluruhan.

TSG ketinggalan 1:18s di belakang pendahulu setakat ini, Team Colombia yang mengumpul 27:43:03s

Sementara itu pelumba negara, Mohd Harrif Salleh, yang cedera di kedua belah kaki dan tangan akibat kemalangan semalam, muncul pelumba terbaik Malaysia di peringkat ketiga kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014.

Pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) itu menamatkan saingan di tempat ke-13 selepas perlumbaan semalam  berakhir dengan 'bunch sprint'.

"Kecederaan ini tidak pulih sepenuhnya lagi... semalampun saya susah hendak tidur. Saya rasa macam tak ada tenaga lagi bila kaki dan tangan saya sakit. Peringkat ini agak panjang juga dan cuacapun panas, menyebabkan saya rasa pedih pada tempat yang cedera.

Hariff cedera pada Jumaat.


"Jurulatih sayapun terkejut bila saya beritahu yang saya nak teruskan perlumbaan. Saya simpan keazaman untuk cuba menghabiskan perlumbaan kerana saya rasa saya masih berpeluang untuk memenangi satu peringkat kali ini," katanya.

Mohd Harrif berkata pada jarak 20 kilometer terakhir beliau terpaksa bekerja bersama-sama abangnya, Mohd Zamri, untuk mencari peluang berada dalam kelompok depan.

"Kerjasama kesemua ahli pasukan banyak membantu saya untuk terus berada dalam kelompok ketika 'bunch sprint' menuju garisan penamat," katanya.

Bagaimanapun, nasib malang terus menimpa seorang lagi pelumba pecut TSG, Anuar Manan, selepas basikal yang ditunggangnya patah pada perlumbaan semalam.

Insiden itu berlaku kira-kira 10 kilometer sebelum tiba ke garisan penamat dan beliau terpaksa menggunakan basikal gantian bagi menamatkan saingan sejauh 166.5 kilometer.

"Apa yang saya boleh katakan, saya memang kecewa kerana laluan hari ini (semalam) memang memihak kepada pakar pecut tetapi saya tidak dapat buat apa-apa bila basikal saya patah. Sasaran saya hari ini adalah untuk meraih kemenangan peringkat," katanya.

Berikutan masalah itu, beliau menamatkan saingan peringkat ketiga di tempat ke-116, ketinggalan 3 minit 50 saat di belakang pemenang, Andrea Guardini dari pasukan Astana Pro Team.

 Bagaimanapun, Anuar gembira Mohd Harrif yang terlibat dalam kemalangan ketika menuju garisan penamat semalam, masih mampu memberikan saingan semalam.

Selepas menamatkan saingan peringkat ketiga, pasukan TSG muncul selaku pendahulu keseluruhan berpasukan Asia selepas mengumpul 27:44:21s dan berada di tempat kesembilan dalam kedudukan pasukan keseluruhan, hanya 1:18s di belakang pendahulu setakat ini, Team Colombia yang mengumpul 27:43:03s.

No comments:

Post a Comment